Wednesday, 23 April 2025

Terima kasih atas maklumbalas pembaca blog

Apa yang kau cari dalam hidup?

Self satisfaction, redha Allah. Beberapa hari lepas saya post infographic Kembara Insan menggunakan Chatgpt. Post di Linkldn dan mendapat komen dari salah seorang pembaca blog saya.

Komen ini amat menyentuh hati saya kerana maklumbalas tersebut telah memberikan kejayaan ke atas tujuan asal blog tersebut mula ditulis sejak 2009. 

Saya amat gembira kerana mampu berkongsi sedikit pengalaman dengan generasi muda pewaris kepada lapisan pengerak industri sawit pada masa akan datang. 

Terima kasih.

Friday, 18 April 2025

Industri Sawit Nadi Kehidupan

Industri tunjang ekonomi

Insya Allah, mendapat inspirasi banyak pengembara negara yang telah melakukan pengembaraan sama ada melalui kapal terbang, kereta, motorsikal mahupun berjalan kaki, saya sangat impikan untuk buat catatan setiap kali saya mengembara ke tanah asing.

Kali ini saya melakukan perjalanan singkat ke Kota Dumai melalui perjalanan KLIA 1 ke Pekan Baru. Sebaik sahaja sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pekan Baru, saya terus menuju ke Kota Dumai. 
Singgah sebentar sarapan di sebuah gerai bersebelahan Masjid Paripurna Agung Ar-Rahman Kota Pekanbaru. Meneruskan perjalanan melalui Jalan TOL Dumai - Pekan Baru Riau Indonesia. Hampur keseluruhan lebuhraya kiri dan kanan ada ladang sawit.

Apabila keluar lebuhraya dan masuk ke Kota Dumai, boleh disaksikan penghuni kota yang sesak, sibuk melakukan rutin harian.

Setiba di lokasi yang dituju, setelah melalui jalan dua hala (kekadang menjadi sehala) disebabkan jalan sempit dan kenderaan berhenti, boleh dilihat kawasan perkampungan, pekan. Kesibukan jalanraya oleh kenderaan kecil dan berat menunjukkan kesan industri yang amat ketara.

Keadaan jalan yang sempit kekadang tidak sekata dengan banyaknya jumlah kilang besar yang ada di kawasan industri.

Secara keseluruhannya, kita boleh nampak setiap rakyat sama ada tua muda, kecil besar bergerak mencari rezeki demi meneruskan kehidupan. 

Saya menegur pemandu teksi yang sejak dari awal perjalanan menyajikan saya dengan lagu lagu pop rock seperti Saleem, Iklim, Jamal Abdillah. Apa pendapatnya tentang kemajuan ekonomi yang dibawa oleh industri sawit?

Dari bandar hingga ke kampung kecil, sawit boleh dilihat di mana - mana sahaja. Lori angkat buah sawit, collection center sebelah sungai, bot angkat buat sawit kemudian guna lifting untuk isu dalam lori, tanker minyak yang berbaris menunggu giliran memasukki komplek kilang penapis yang sangat luas. Ibarat kata, semuanya berkait sawit.

Tanpa diduga, pemandu itu berkata, ekonomi dan industri bagus, namun udara semakin tercemar. Air kotor, udara tidak nyaman. Mingkin melihat debu - debu di jalanan sempit dan banyaknya kilang di kawasan industri.

Saya berkata, industri sawit membawa peluang ekonomi besar kepada semua pihak dari orang kampung miskin hinggalah kepada para pengusaha kilang dan gedung. Tidak lupa para ahli perniagaan yang mengusahakan segala bentuk perniagaan seperti kedai, rumah, pengangkutan dan juga pelbagai servis lain.

Dan ia sewajarnya turut memberi perubahan kepada peningkatan penguasaan undang - undang terutama melibatkan alam sekitar. Jika dulu tahun 1970, air kumbahan sawit dibuang tanpa rawatan ke dalam sumber air dan sungai, namun kini undang - undang diketatkan, sistem rawatan yang mewajibkan BOD bawah 20 mg/l diwajibkan, pelepasan udara cukup ketat dan begitu juga pembakaran terbuka diharamkan semasa proses penanaman semula. Ini semua akan memberi impak kepada penjagaan alam sekitar yang baik. Denda yang tinggi juga akan secara langsung mendidik dan mengawal pihak ahli perniagaan yang rakus serta tamak.

Ia berlaku seiring dan semua pihak mempunyai fungsi dan tugas masing - masing. Menjana ekonomi melalui industri, menjaga alam sekitar dan membina rakyat serta negara yang makmur. 

Kembara Insan
Borneo Rider
21 tahun dalam industri sawit.

Saturday, 12 April 2025

Bos tanya khabar

Tanya khabar

1. Beberapa atasan saya tanya, apa khabar? You look tired. How is everything?
2. Saya menjawab, all still manageable. Within control.
3. Stress, depress, sakit, kecewa, atau apa lagi segala cabaran dan perasaan negatif yang saya nak ungkapkan? Tidak sama sekali.
4. Kenapa, sebab saya telah 'dianugerahkan' dengan perkara itu beberapa tahun lalu. Jika pun ia hadir sekarang, ia tidak mencapai level sebelumnya, maka saya katakan, ia masih dalam kawalan.
5. Mungkin inilah maksudnya, jika kita diuji, mukmin bersabar, jika nikmat menjelma, kita bersyukur. Itulah sebaik - baik katanya buat kita mukmin.
6. Disebabkan diasak dan diuji dengan level lebih tinggi sebaik sahaja selesai mengerjakan haji, maka inilah saya hari ini.
7. Bukan kata tidak sakit, bukan kata tidak stress, bukan kata tidak kecewa, ada, tapi levelnya tidak sampai ke tahap dulu. Maka ia seakan sudah menjadi biasa.
8. Pepatah berbunyi alah bisa tegal biasa.
9. Maka tuan puan, jangan risau dengan apa jua yang hadir dalam hidupmu. Hadapinya. Jika pun ia tidak selesai, sekurangnya ia menjadi alah dan biasa, dan kamu mampu menguasainya.
10. Ingatlah, takkala seniman agung diuji dengan surat saman mahkhamah, beliau sangat depress hingga membawa kematian beliau. Jika kamu dapat mengatasinya, kamu akan rasai kemanisan selepas era itu.

Saya selalu gunakan contoh Deadpool. Satu watak manusia biasa diseksa hingga dia menjadi superhero. Dulu pun saya suka watak wolverine X Man, satu watak yang boleh menyembuh dengan cepat apabila cedera.

Sebenarnya kita juga mampu menjadi Deadpool & Worverine dalam dunia nyata. Kerana luka dan cedera itu telah menjadikan kita luarbiasa menghadapi hari - hari mendatang dengan lebih kuat, bertenaga.

Bos, jika saya perlukan bantuan, saya akan maklum. Jika tidak pun, esok saya akan hantar notis berhenti kerja.

Saturday, 5 April 2025

KESELAMATAN tanggungjawab bersama

1. Dianggarkan hampir RM25 juta Petronas akan rugi kesan kes paip gas bocor.
2. Jumlah ini tidak termasuk kerugian ditanggung oleh banyak syarikat atau kilang tidak dapat beroperasi disebabkan oleh tiada sumber gas. Gas digunakan untuk operasi boiler, kegunaan tenaga utama untuk operasikan kilang.
3. Sejumlah kilang telah tidak beroperasi sehinggalah paip ini disambung dan dibaiki. Puluhan ribu pekerja tidak akan mendapat gaji disebabkan perkara ini. 
4. Belum kita sebut kesusahan mangsa yang rumahnya musnah sekelip mata.
5. Kemalangan yang berlaku secara langsung dan tidak langsung akan menyusahkan ramai pihak sekali gus. 
6. Pihak yang melakukan kesalahan sama ada sengaja atau tidak, telah menyebabkan semua pihak menanggung kesusahan jangka masa pendek mahu pun panjang.
7. Sampai bila kita sebagai warga negara yang ingin maju mahu perkara ini berterusan. Adakah apabila perkara itu berlaku kepada diri kira baru kita mahu mengambil iktibar?
8. Isu keselamatan (di mana jua sama ada tempat kerja, di dalam kereta, di rumah, di dalam kapal terbang mahu pun dalam tubuh badan kita) menjadi tanggungjawab semua pihak.
9. Kita tidak boleh lagi berkata, oh itu urusan orang lain, bukan urusan aku. Maka kita tidak masuk campur dan biarkan ia berlaku. Kita mesti masuk campur, tegur, cegah dan pastikan ia tidak diteruskan.
10. Perbuatan itu mungkin akan ada tindakbalas, namun dengan teguran dan tidakan kita, ia mungkin menyelamatkan nyawa, harta benda dan semua kesusahan yang bakal terjadi.
11. Setiap NEARMISS atau hampir kemalangan mesti dilaporkan segera kepada pihak berkuasa. Kita boleh elak kejadian yang berlaku jika saksi yang melihat, menghidu kebocoran gas segera melaporkan lebih awal. Jika pun ia disedari oleh pesalah, perbuatan itu sekurangnya mampu mengelakkan kerosakkan lebih besar dari berlaku.
12. Disebabkan kesedaran keselamatan di negara kita masih jauh, kita telah menyaksikan malapetaka ini berlaku di depan mata kita. Puluhan juta ringgit ini sebenarnya boleh digunakan untuk perkara lebih bermanfaat.
13. Ayuh kita sama - sama meningkatkan kesedaran keselamatan di mana jua kita berada. Ini adalah tanggungjawab kita bersama dan ia sebahagian dari amal makruf dan nahi mungkar yang telah ditetapkan oleh agama.
14. Jika buang duri boleh dapat pahala, bayangkan kita buang risiko besar yang boleh elak nyawa dari hilang!

Keselamatan tanggungjawab semua.

Jurutera Stim Gred 1
21 tahun dalam industri.

*Satu jiwa hilang, bakal ada lagi 5 orang ahli keluarga, 10 saudara, 50 sahabat, 100 kenalan akan terkesan. Kita mampu mengubahnya.