Assalamualaikum wt dan selamat menyambut Aidil Adha 1434H kepada semua umat Islam di seluruh dunia.
Sebelum tulisan ini menerjah lebih jauh, izinkan saya menyatakan, hasil tulisan ini tiada kaitan dengan mana - mana pihak, syarikat serta apa apa pertubuhan. Ia sekadar sebuah pandangan peribadi dan ikhlas dari jiwa dan raga saya.
......
Pelbagai isu melanda industri sawit sejak beberapa tahun yang lepas, namun tulisan saya ini akan fokus kepada jurutera sawit sahaja.
A.PEMBUKAAN
1. Saya amat meminati bidang kerjaya saya sekarang iaitu menjawat jawatan jurutera di sebuah kilang sawit. Walaupun saya juga seorang pengurus kilang sawit, namun saya lebih bangga mengatakan saya seorang jurutera berbanding saya seorang pengurus. Kenapa? sebab kerjaya ini bagi saya mempunyai nilai yang tinggi disebabkan beberapa faktor seperti berikut :-
1.1 Jurutera adalah kerjaya berpengentahuan, membudayakan ilmu, tanpa disiplin ilmu yang tertentu, seseorang tidak boleh digelar sebagai seorang jurutera.
wikipedia
"Kejuruteraan ialah salah satu aplikasi sains untuk memenuhi keperluan
dan kehendak manusia. Kejuruteraan menggabungkan pengetahuan, matematik,
dan pengalaman untuk mereka bentuk sesuatu objek atau proses."
Pengamal kejuruteraan dipanggil Jurutera.
Dalam erti kata lain, seorang jurutera menggunakan ilmu, membangun ilmu, menggunakan ilmu dan mengembangkan ilmu. Bukankah orang yang berilmu juga mendapat penghormatan yang besar di dalam Islam.
firman Allah bermaksud :
“Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.
Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi, seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud :
“Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)
Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah bermaksud :
“Katakanlah
adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya
mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan
hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)
Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
“Sesiapa
yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan
orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu
kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
“Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Hadis riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)
Pelbagai banyak ayat Al Quran dan Hadis Rasullah SAW menunjukkan pentingnya ilmu, orang yang berilmu dan sudah tentu, jurutera merupakan satu kerja orang - orang yang berilmu!
1.2 Memberi manfaat kepada manusia dan hidupan dunia yang lain.
Apakah manfaat yang diberikan oleh seorang jurutera?
1.2.1 Dengan mesin yang dicipta, jurutera membawa kehidupan manusia ke arah lebih baik, lebih selamat, lebih mudah, lebih selesa dan sebagainya. Contoh, penciptaan lampu membawa kehidupan manusia dari gelap kepada terang di waktu malam.
Penghasilan kenderaan berat mampu mengurangkan kos dan tenaga manusia daripada digunakan.
Penghasilan alat keselamatan seperti penghadang mesin bergerak, alat pelindung boleh mengelak manusia daripada risiko keselamatan yang membawa maut.
Bukan setakat menghasilkan mesin dan peralatan, seorang jurutera juga menghasilkan proses dan sistem yang mampu mengurangkan risiko kemalangan dan menghasilkan kualiti dan kuantiti yang lebih baik.
1.2.2 Menjadi guru dan menyebarkan ilmu.
Dengan asas ilmu kejuruteraan yang ada dalam dirinya, seorang jurutera juga menjadi seorang guru. Mengajar dan menerangkan setiap perkara kepada pekerjanya supaya kerja itu dijalankan dengan sempurna. Malah, untuk menjaga sebuah kilang sawit yang mempunyai boiler serta turbin, memerlukan pemahaman ilmu kejuruteraan mekanik yang tinggi. Tanpa asas ilmu kejuruteraan, tindakan salah yang diambil boleh menyebabkan kemalangan di sesebuah kilang sawit.
Bukankah ilmu yang ada wajib disampaikan. Jika kita tidak menyampaikan kepada anak buah kita, ilmu itu akan hilang dengan peredaran usia dan umur kita. Adalah lebih baik kita menyimpan ilmu itu di dada dan kepala kita dengan kaedah mengulang - ulang ilmu semasa proses menyampaikan kepada anak buah kita.
Ilmu yang diulang itu sebenarnya adalah proses menghafal yang sangat efektif.
1.2.3 Menjadi benteng antara kebenaran dan kejahilan.
Tanpa ilmu yang cukup dan berkembang, seorang jurutera mungkin mengambil tindakan yang salam dan menyebabkan kerugian berjuta - juta ringgit kepada syarikat. Disebabkan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah turbin, kilang sawit terpaksa menggunakan enjin diesel yang proses buah sawit. Kesannya, kos berjuta - juta ringgit terpaksa digunakan, malah mampu untuk membeli sebuah turbin baru.
Di zaman penuh cabaran dan persaingan hari ini, seorang jurutera perlu proaktif dalam pelbagai bidang ilmu bukan setakat ilmu kejuruteraan sahaja, namun juga ilmu pengurusan, ilmu kemanusiaan dan ilmu perniagaan.
Tanpa kekuatan jati diri, kekuatan ilmu dan kefahaman mendalam dalam satu satu perkara, sebuah organisasi mampu tersungkur kerana tidak mampu untuk bersaing dengan suasana dunia yang semakin pantas.
B. ISI UTAMA DAN TINDAKAN MENGHADAPI CABARAN
1. Isu - Isu Semasa Yang Menyempit Kehidupan Seorang Jurutera di Kilang Sawit
Pelbagai isu telah menjatuhkan maruah dan kewibawaan seorang jurutera yang juga seorang pemimpin sebuah organisasi.
1.1 Pecah Amanah - Integriti di persimpangan jalan benar dan batil.
Antara empat ciri utama sifat Nabi SAW adalah Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Empat ciri ini penting untuk melayakkan seseorang menjadi seorang pemimpin. Tanpa empat sikap utama ini, maka bermulalah segala huru hara di muka bumi.
Seorang jurutera juga seorang pemimpin. Beliau menjadi seorang pemimpin di sebuah organisasi. Apabila menjadi ketua dan pemimpin, beliau diamanahkan dengan kuasa, asset bernilai jutaan ringgit, sumber tenaga seperti pekerja dan pelbagai jenis sumber yang perlu diurus dengan baik dan amanah. Tanpa sikap amanah yang tinggi, maka semua sumber itu digunakan untuk kepentingan peribadi, malah lebih buruk akan membawa malapetaka kepada ramai pihak.
Contoh mudah, jika jurutera itu membeli valve keselamatan di boiler dengan harga mahal tetapi kurang kualiti, risiko kemalangan boleh berlaku dan menyebabkan kematian dan kerugian jutaan ringgit. Adakah kita sanggup membayar sebuah nyawa dengan cuma nilai habuan duit yang diterima?
Lebih lanjut lagi, seorang jurutera dan ketua yang amanah akan menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin. Beliau akan menjadi seorang yang berdisiplin dan bekerja semata kerana Allah, bukan kerana audit atau bukan kerana sistem pengurusan syarikat yang ketat. Tanpa disuruh dan tanpa kawalan pengurusan, beliau menjalankan tugasnya dengan penuh disiplin.
Namun, seorang jurutera dan ketua yang tidak amanah akan melupakan tugas pentingnya, malah sibuk menumpukan kepada perkara bersifat peribadi. Tugas utama seperti mengkaji risiko keselamatan, memeriksa tahap keselamatan di kilang, melakukan aktiviti penambahbaikan berterusan di kilang tidak dijalankan. Kesan jangkamasa panjang, pelbagai isu akan timbul. "Rubbish in, rubbish out". Mengambil seorang jurutera yang tidak amanah ke dalam sebuah organisasi adalah permulaan kepada kehancuran organisasi tersebut.
1.2 Kelayakan - Antara pengalaman dan teori.
Sejak beberapa tahun yang lepas, pihak berwajib telah mengetatkan pematuhan Akta Kilang dan Jentera di mana boiler yang dijaga oleh jurutera stim mesti mempunyai kelayakkan. Tanpa kelayakkan, boiler tersebut boleh dihalang daripada beroperasi serta dilakukan pemeriksaan tahunan.
Dengan kemunculan pelbagai pusat latihan swasta, persatuan seperti MSIEA (Malaysian Steam and Internal Combustion Engine Engineer), hari ini ilmu kejuruteraan stim boleh diperolehi dengan lebih mudah berbanding sebelumnya. Dianggarkan lebih 3000 orang jurutera dan pihak yang mempunyai kaitan dengan boiler telah memohon untuk menjadi ahli di dalam persatuan tersebut yang aktif di Facebook.
Ilmu dan teori sudah ada. Boleh dibaca dan dibincangkan. Namun, adakah jurutera baru dan muda ini cukup pengalamannya? bagimana pula disiplin? Teori yang hebat bukan penentu kepada keadaan tempat kerja yang baik dan selamat.
Maka di sini, dengan kepesatan ilmu dan teori, disiplin kerja, komitmen, minat yang mendalam dan tanggungjawab tidak boleh dipandang remeh, malah menjadi elemen penting dalam melahirkan seorang jurutera dan pemimpin yang berwibawa.
1.3 Disiplin - Pertembungan antara budaya kecemerlangan dan budaya cukup makan.
Soalan biasa yang ditanya apabila seorang berjumpa, berapakah gaji di syarikat itu dan ini. Berapakah gaji minimum yang layak untuk seorang jurutera stim gred satu dan dua?
Namun, jarang antara kita bertanya, apakah standard sebenar seorang jurutera stim? apakah yang perlu kita lakukan.
Akhirnya, apabila mengentahui perbezaan gaji antara dua syarikat yang berbeza, maka dijadikan alasan untuk malas bekerja disebabkan oleh gajinya yang rendah. Inilah permulaan kerosakkan kerjaya seorang jurutera. Bilamana semua tindakan semasa kerja dinilai dengan wang ringgit. Di mana maruah seorang jurutera bila semuanya boleh dibeli dengan wang ringgit? Mereka yang berkerja kerana wang, akan mati tanpa merasai nikmat wang itu.
Namun, mereka yang bekerja kerana cintakan kerjaya itu, kerana minat yang mendalam, akan mendapat segalanya. Pahala di akhirat. Ilmu yang tinggi. Kekayaan di hati dan luar. Kehormatan.
Duhai para jurutera. Hentikan sikap anda yang sudah mula dibuai arus cukup makan. Jika anda sudah mula bersikap cukup makan, maka anak buah anda akan lebih lagi. Ibarat ayah kencing berdiri, si anak akan kencing berlari.
Sebagai seorang yang memegang profesion professional dan berilmu pengentahuan, kita selayaknya menjadikan kecemerlangan sebagai elemen penting dalam budaya hidup kita. Lakukan segalanya dengan cemerlang.
Siapakah penilai hasil kerja kita? kita sendiri yang nilaikan sebelum orang lain memberi penilaian. Adakah kita sudah berpuas hati dengan hasil itu?
1.4 Penghargaan
Memang tidak nafikan, dengan peningkatan kos sara hidup, kerjaya seorang jurutera bukan lagi menjadi keutamaan buat masa ini. Walaupun kononnya bergaji tinggi, namun kos yang meningkat saban tahun menyebabkan tiada kelebihan terhadap gaji tersebut.
Untuk sebuah kilang sawit yang memproses 200,000 mt buah sawit, seorang pengurus atau jurutera menguruskan nilai berikut setiap tahun
1. Menerima buah sawit bernilai RM80 juta.
2. Menghasilkan CPO bernilai RM105 juta dan PK bernilai RM15juta.
3. Mengurus dan menjadi sebuah kilang sawit bernilai RM30 juta dengan perbelanjaan tahunan RM8 juta.
Jumlah keseluruhan tanggugjawab beliau adalah RM238 juta/tahun.
Jika gajinya berjumlah RM8,000/bulan, maka ia cuma bernilai 0.04% daripada jumlah nilai yang beliau perlu jaga dengan amanah dan bertanggungjawab. Berbaloikah dengan nilai tersebut?
Apabila kita membeli sebuah kereta BMW bernilai RM500,000, adakah kita mahu menggunkan manga yang cuma bernilai RM8 untuk menyimpan kereta tersebut?
Untuk melahirkan seorang jurutera yang bertanggungjawab, maka habuan yang perlu diterima oleh jurutera terbabit perlu setimpal dengan tugas yang digalas.
Negara Singapura merupakan negara yang paling rendah indek rasuah kerana pemimpin mereka dibayar dengan gaji antara yang paling tinggi di dunia.
Namun, bagi seorang jurutera yang beriman, ganjaran di akhirat adalah sebaik - baik ganjaran terhadap ibadat beliau lakukan di dunia.
2. Persediaan, Bekalan dan Tindakan Menjadi Seorang Jurutera Sawit Berkaliber di Masa Depan
Kita telah mengenal pasti antara beberapa isu yang menjadi cabaran buat seorang jurutera, namun apakah persediaan yang perlu kita ada untuk menghadapi segala cabaran tersebut?
Berikut adalah antara bekalan yang perlu adalah dalam melahirkan seorang jurutera yang juga seorang pemimpin yang berwibawa serta dihormati.
2.1 Agama - Sebaik - Baik Sistem mengawal manusia.
Agama memainkan peranan amat penting buat kita sebagai seorang manusia. Tanpa agama, maka hilanglah kelebihan kita jika dibandingkan dengan haiwan.
Kenapa kita mesti belajar dan mencari ilmu? sebab agama menyuruhkan kita mencari ilmu dan keluar daripada kejahilan.
Kenapa kita mesti amanah dan bertanggungjawab? kerana agama melarang keras sikap pecah amanah, rasuah dan melanggar janji. Malah ia termasuk dalam dosa - dosa besar.
Hati manusia tidak akan takut pada hukuman mati dan hukuman gantung. Lihatlah berapa ramai manusia masih menjual heroin dan ganja.
Hatta sebab itu, hati manusia boleh dikawal dengan ajaran dan didikan agama yang kuat di dada dan jiwa.
Dalam menempuh cabaran yang semakin mengunung di hadapan, ilmu pengentahuan dan amalan agama menjadi bekalan paling berguna buat seorang jurutera.
2.2 Jaringan Hubungan - Tentera Kebenaran perlu menang melawan tentera kebatilan.
Terdapat pelbagai persatuan boleh disertai oleh para jurutera. Sertailah BEM, IEM, ISP, MPOA, MSEIA, Toastmaster, serta pelagai jenis kumpulan yang menganjurkan budaya ilmu serta kebaikan.
Dengan aktif dalam kumpulan seperti ini, sekurang - kurangnya kita akan berkawan dan dikelilingi oleh mereka yang bersikap positif serta cemerlang. Bersama - sama menyumbang ke arah kemajuan profesion jurutera.
Jika kita tidak menyertai persatuan dan kumpulan ini, kita lebih cenderung bersendirian dan tidak dapat mengikuti perkembangan semasa.
Kita akan jadi ibarat kambing terlepas dari kawanan yang menunggu menjadi mangsa kepada serigala dunia.
2.3 Tindakan besar bermula dengan langkah pertama.
Kita sudah nampak apa yang perlu dilakukan, ayuh mulakan usaha. Hatta sekalipun kita memandang sebuah gunung, pandanglah dengan sikap yang positif bermula dari hati kita.
Sebagai seorang pemimpin, kita mesti memulakan langkah pertama mencorak budaya ke arah yang lebih baik. Jangan kita yang terikut dengan budaya negatif terapi kitalah yang membentuk suasana kerja positif di sesebuah organisasi.
Mulakan hari ini, insya Allah, kejayaan ke arah yang lebih baik itu sudah bermula.
C. PENUTUP
Hasil tulisan ini cuma coretan dari hati dan jiwa saya. Saya sedih bila mana jurutera hari ini dicabar daripada pelbagai sudut.
Semoga artikel ini mampu memberi inspirasi kepada para jurutera muda untuk terus berjuang memartabatkan kerjaya ini.
Teruskan usaha. Selamat maju jaya.