- Sedar atau tidak, di kantin kilang itu sebenarnya banyak yang aku pelajari. Masakan tidak, selepas masa bekerja di dalam kilang yang amat panjang, tempat kedua tempat masa dihabiskan adalah kantin.
- Menjadi budaya kerja, selepas semua kerja maintenance telah diatur, siap dan proses telah berjalan dengan stabil, kami eksekutif akan berada di kantin untuk sarapan. Pengurus bersarapan lebih awal, selalunya pukul 8 pagi semasa ullage CPO storage tank dilakukan. Jika dia masih berada di sana, kami eksekutif tidak akan berani ke sana. Namun, semasa menjadi penolong, aku antara orang yang memecah tradisi, akan pergi minum menemani bos aku. Masih teringat kepada rakan sekerja, setiap kali aku mengajak untuk bersarapan, dia akan memberikan pelbagai alasan untuk tidak bergaul dengan Production & Technical eksekutif.
- Waktu tengah hari biasanya kami akan pulang ke rumah untuk berehat. Namun, ada waktu sibuk dengan kerja di kilang, kami akan berkumpul di kantin. Makanan di sana bukanlah boleh dipilih, orang kantin akan tentukan apa yang mereka hendak masak. Anda cuma perlu memakannya atau tidak (berlapar).
- Petang sekali lagi menjadi masa untuk minum petang. Waktu ini, kekadang terdapat pengurus ladang akan turut - serta. Semasa mereka ada, pelbagai topik dibincang berkisar kerja ladang, kilang serta berita terkini syarikat atau pengurus yang diminta untuk berhenti!
- Menjelang lewat petang, kami eksekutif sekali berkumpul sebelum balik ke rumah. Jika bernasib baik, pengurus akan turut serta. Jika perbualan rancak, kami akan turut makan malam di sana. Kantin akan tutup sebelum magrib. Namun kami masih berada di sana diiringi bunyi mesin serta boiler yang sedang beroperasi. Kilang yang beroperasi dua shift sebenarnya memerlukan pemerhatian yang lebih. Walaupun berada di kantin, semua perjalanan kilang boleh diperhatikan dari sana disebabkan kedudukannyan yang strategik.
- Kami berbual dan berborak. Puratanya sehingga pukul 9 malam. Penerimaan FFB sehingga pukul 9 malam dan kekadang sampai pukul 1100 malam pada musim buah. Disebabkan itu juga, sudah menjadi kebiasaan kami berada di sana sehingga pukul 9 - 10 malam. Balik ke rumah hanyalah untuk mandi dan tidur. Kekadang terus tidur di sofa ruang tamu tanpa mandi disebabkan keletihan. Sampai ke kilang sebelum pukul 7 pagi dan balik ke rumah pukul 9 malam. Itulah rutin kami setiap hari! Waktu kerja yang amat panjang dan boleh dikatakan, semuanya diluangkan di kilang.
- Merungkai kembali setiap masa yang dihabiskan di kantin, aku tidak pernah menyesal. Meluangkan masa berada di kantin bersama rakan sekerja serta bos (yang menjadi satu - satu yang rakan serta keluarga di ladang) amat signifikan kepada peningkatan kerjaya aku hari ini.
- Perbualan di sana walaupun setiap waktu berkisar kepada kerja, kekadang menjadi forum untuk bertukar- tukar padangan. Bos serta rakan sekerja yang berpengalaman akan berkongsi pengalaman, suka dan duka berada di industri sawit. Kebanyakkan mereka adalah orang yang komited pada industri. Berkongsi pengalaman dengan mereka merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Kebanyakkan mereka berada jauh daripada keluarga, rakan sekerja merupa lebih daripada rakan malah sudah menjadi satu keluarga.
- Walaupun di peringkat awal, semasa menjadi kadet, aku sekadar menjadi pendengar. Lama - kelamaan aku turut serta dalam memberikan padangan. Sesi perbualan kekadang tambah menarik, jika bos bercerita perihal pengalamannya serta memberikan banyak maklumat berguna dan memberikan nasihat perihal keluarga, perbelanjaan, peningkatan kerjaya dan sebagainya.
- Segala persoalan yang timbul dapat dibincangkan di sana. Jika semasa waktu pejabat, kami dimarahi serta ditengking, waktu berada di kantin, kami seakan rakan karib. Berborak dan terus berborak. Secara tidak langsung, kekadang aku fahami itulah waktunya bos cuba untuk memahami hati dan jiwa kami apabila bekerja.
- Dalam masa setahun menjawat jawatan kadet, aku sudah boleh memahami banyak perkara. Senang faham salah satu sebabnya adalah kerana masa yang kami banyak habiskan di kantin.
No comments:
Post a Comment