Friday, 1 April 2011

High Profile vs Low Profile

Mac 2011, genap lapan tahun aku menjejak kaki ke bumi Borneo serta alam industri sawit. Jatuh dan bangun bersama keluarga tercinta. Rakan taulan dan kenalan silih berganti. Kenalan baru daripada pelbagai persatuan, syarikat serta organisasi di sekililing menambahkan keseronokan hidup di alam sawit. Walaupun jauh daripada sanak saudara di bumi asing, namun di ladang atau di kem, kita ibarat keluarga.

Berkenalan dengan planter yang berpengalaman banyak memberikan kesan positif dalam mengharungi liku - liku kehidupan di ladang yang kian hari makin mencabar. Nasihat dan perkongsian pengalaman mereka amat bermakna untuk dijadikan bekal semasa menempuh perjalanan seharian. Yang baik wajib diikuti tanpa banyak soal. Kelak, baru kita beroleh manfaat daripada ilmu terbabit.

Banyak orang yang dikenali, banyak juga karenah yang dipelajari. Ada yang suka cari populariti, ada yang suka tikam belakang dan tidak kurang juga ada yang buat hal sendiri serta tidak peduli. Antara semua itu, ada yang cukup meninggi diri, bila dikelilingi ramai kenalan serta orang - orang besar. Almaklumlah, dia yang hebat.

Memerhatikan gerak geri individu terbabit, membuatkan aku mengimbas kembali hari - hari pertama aku memasuki industri sawit. Nasihat pengurus lama aku muncul kembali. Ada orang suka menongkat langit. Suka meninggi diri dan suka mengejar pangkat. Semuanya dipijak, tanpa memperdulikan sesiapa. Berhati - hatilah, jangan lupa pekerja di mana tanpa mereka, siapalah kita.

Dulu aku rasa, dengan ramainya kenalan, kita akan menjadi popular. Kita rasa, dunia ini kita yang punya. Tapi realitinya bukanlah seindah seperti cereka filem. Rakan - rakan itu hanya muncul di saat gembira. Kelak bila tibanya waktu susah atau sedih, hanya keluarga kita menjadi tempat taruhan terakhir. Hanya mereka menjadi tempat keluh dan kesah kita. Tidak semua rakan - rakan yang kita amat banggakan itu akan berdampingan dengan kita waktu kita susah.

Sewajibnya, keluarga menjadi tulang belakang kepada semua suami di industri sawit. Tanpa isteri serta anak - anak di sisi, kehidupan suami di ladang ibarat kosong. Lebih - lebih lagi isteri atau keluarga yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan alam sawit.

Disebabkan menjadi pengurus di usia terlalu muda, aku memperlahankan gerak serta langkah. Meninjau di sekeliling serta memperbaiki langkah supaya lebih tersusun, kemas dan yakin. Dulu aku berlari. Dulu aku mahu kenal ramai orang. Dulu aku ingin menjadi juara. Dulu aku suka jika menjadi tumpuan. Namun, pengalaman banyak mengajar aku. Kenalan serta taulan banyak berkongsi pengalaman mereka.

Apa perlu dipeluk dunia ini? Kelak itu semua akan ditinggalkan. Apa perlu lepak berjam - jam dengan rakan, diwaktu yang sama keluarga di rumah ditinggalkan dan anak - anak kehausan kasih sayang. Apa perlu hujung minggu dihabiskan di padang golf, setelah seminggu berjauhan dengan keluarga. Apa perlu kenalan merata tempat serta syarikat, tapi kita tidak mengenali anak - anak sendiri. Apa perlu duit berjuta, jika kesihatan kita tidak terurus. Apa perlu pangkat dan darjat, jika kita ramai musuh.

Dari high profile, aku berubah menjadi low profile. Bukan tidak mahu berlari, tapi aku sudah penat. Low profile lebih seronok. Fokus pada perkara penting. Kerjaya, keluarga dan aset. Buat yang terbaik. Cukuplah tiga perkara ini menjadi hobi aku. Tak perlulah hal lain yang hanya kekadang banyak membuang masa serta tiada faedah.

No comments:

Post a Comment