Tuesday 4 December 2012

Tahniah Hashim!


Assalamualaikum wt,

Post ini tribute untuk adik aku Hashim sempena konvokesyen baru - baru ini. Selepas mengambil diploma, akhirnya beliau menamatkan ijazah sarjana muda statistik.

Tahniah kerana berjaya mengharungi segala onak duri, ranjau serta cabaran bergelar mahasiswa dan pelajar sekian lamanya.

Namun ketahuilah adikku. Ia sebenarnya adalah salah satu fasa dalam kehidupan kau. Satu fasa mungkin dari 100 fasa ataupun seribu fasa. Kehidupan ini berfasa - fasa. Sama lapisnya dengan seperti helaian buku kamus atau buku yang berjumlah 1000 muka surat. Kau sebenarnya perlu membelek ke helaian seterusnya. Mungkin kau cuma baru di bahagian bab pertama.

Aku tahu, sekarang kau dalam persimpangan untuk memilih helaian yang bakal kau tempuhi. Cabaran itu sebenarnya juga adalah satu fasa dalam hidup kau. Sama fasanya seperti dulu kau bergelar mahasiswa.

Esok lusa kau akan berkerjaya. Membina kerjaya, keluar pagi balik lewat petang dan begitu juga seterusnya. Esok lusa kau akan berkahwin. Bina keluarga, punyai anak dan juga cucu. Esok lusa kau akan membeli kereta, rumah serta harta. Hinggalah akhirnya kita kembali kepadaNya.

Ya. Ia semua adalah fasa. Fasa belajar. Fasa Mengajar. Fasa kerjaya. Fasa berumahtangga. Fasa dunia. Fasa Akhirat. Ia datang dan ia pergi. Soalnya..adakah ia akan berhenti? 

Tidak. Ia tidak akan berhenti bilamana kita masih bernyawa. Ia cuma berhenti bilamana kita ke syurga atau neraka,

Ketahuilah, tekanan yang kau rasa sebelum esoknya peperiksaan adalah sama juga tekanan yang kau akan rasa bila mana dimarahi oleh majikan. Bilamana punyai masalah keluarga. Bilamana anak atau cucu kau buat masalah. Atau seribu satu masalah pada masa akan datang.

Ia tidak boleh dielakkan. Ia sebenarnya adalah episod demi episod dalam hidup kau. Kau tidak boleh lari. Kau terpaksa harunginya semua. Tempuhinya semua. Jangan sesekali lari. Insya Allah, walaupun kau tidak tahu apa yang akan dilakukan, namun percayalah, Insya Allah, ada jalannya.

Banyakkan bersabar. Berdoa. Berusaha dengan rajin. Banyakkan berserah pada Allah. Minta restu orang tua.

Akhir kata. Aku bukan tujukan post ini kepada kau adikku. Aku sebenarnya ingin berkata pada diriku sendiri, apa lagi fasa yang bakal aku tempuh.

Setiapnya mengajar diriku. Menjadi lebih dewasa dan matang. Walaupun kadang kala aku bersikap sebaliknya.

...salam.

No comments:

Post a Comment