1. Biasanya tempat latihan praktikal diatur oleh pihak pengurusan universiti atau pun permohonan pelajar sendiri.
2. Dipendekkan cerita, saya mendapat latihan praktikal di sebuah syarikat GLC di Subang Jaya. Pada hari kejadian, saya dengan segala persiapan dari kampung menuju ke Subang Jaya. Apabila sampai di pejabat, saya dimaklumkan syarikat terbabit tidak menerima sebarang pelajar latihan praktikal. Terkejut dengan makluman tersebut, saya pulang dengan hampa.
3. Dari Subang Jaya, saya kembali ke kampus di Seri Iskandar sementara menunggu penempatan tempat latihan. Setelah beberapa hari menunggu, akhirnya saya di tempatkan di sebuah kilang produk metal di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Menguruskan tempat tinggal, perjalanan sebelum keesokkannya saya memulakan latihan praktikal.
Fokus semasa latihan praktikal
4. Walau pun tanpa sebarang elaun diberikan, disebabkan pengalaman ditolak, saya mula memasang niat untuk fokus kepada semua perkara yang saya boleh belajar di syarikat terbabit.
5. Saya di tempatkan di jabatan kualiti. Syarikat ini menghasilkan produk metal untuk digunakan kilang pemasangan kereta dan peralatan elektrik dan elektronik. Mereka mempunyai sistem kualiti QS22000 dan beberapa sijil lain. Banyak peralatan jitu digunakan untuk menguji kualiti setiap produk.
6. Saya masih ingat menulis segala perkara dan benda baru yang saya jumpa di syarikat terbabit. Perkara yang tidak ada di universiti dan belajar hanya melalui teori.
7. Bermula dengan sistem kualiti dan pengurusan, nama alat dan fungsi, jenis - jenis produk dan parameter kawalan. Mengikuti proses apabila terdapat aduan pembeli dan seterusnya melakukan tindakan penambahbaikan.
8. Apabila ditanya, apakah hasil syarikat berkenaan, di mana pasaran mereka, macam mana cara mereka hasilkan produk, apakah parameter yang dikawal, apa nama peralatan yang mereka gunakan, apakah target syarikat mereka, dan apa fungsi setiap jabatan dalam syarikat, saya dapat memberikan perincian dengan baik. Ini adalah maklumat asas jika seseorang bertanya kepada kita, apa yang syarikat itu hasilkan?
Apa pentingnya latihan praktikal untuk masa depan seorang pelajar?
9. Baru - baru ini, saya sempat menemuduga beberapa calon untuk jurutera mekanikal. Walau pun keputusan ijazah mereka sangat cemerlang dan mendapat sijil dekan, namun apabila ditanya tentang perkara asas semasa latihan praktikal, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Ini amat mengecewakan kerana latihan praktikal adalah hampir enam bulan.
10. Sebagai graduan yang baru keluar dari universiti, panel penemuduga biasanya akan fokus kepada latihan praktikal pelajar. Mereka akan uji sejauh mana minat dan keterlibatan pelajar berkenaan semasa latihan praktikal. Apa yang mereka lakukan? Apa yang telah mereka belajar selama tempoh praktikal? Jika banyak soalan tidak mampu dijawab, ini membuktikan pelajar berkenaan tidak fokus dan tidak minat untuk belajar sesuatu baru. Mereka sekadar mahu menghabiskan masa dan demi syarat graduan sehaja.
Saya berharap para pelajar belajar banyak perkara semasa latihan praktikal. Dan seterusnya mencipta sebuah pengalaman berharga. Sekurang - kurang boleh dijadikan pengalaman semasa mencari kerja suatu masa kelak.
Terima kasih kepada syarikat yang pernah menerima saya dahulu walau pun kekadang sekadar menjadi tukang photostat kertas di pejabat.