Saturday 25 August 2012

Memahami Al Quran di rumah





Assalammuaalaikum ummuabbas,
Saya ingin sekali meminta pandangan ummuabbas tentang bagaimana caranya untuk kita memahami ayat2 Al quran secara sendirian di rumah. Selama ini saya cuma membaca terjemahan dari Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Tapi ada masanya saya tak dapat memahami bahasanya, kadang2 keliru dengan cerita2 dalam ayat2 tertentu. Saya pula belum berkesempatan menghadiri mana2 kelas tafsir. Kadang2 cuma sempat mengikuti program di TV9 hari Jumaat.
Ummu Hakim
Jawapan:
Wa’alaykum salam wbh Ummu Hakim.
Tahniah saya ucapkan kepada Ummu Hakim kerana berusaha memahami ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Menurut Fiqh Keutamaan, memahami ayat yang dibaca walaupun sedikit lebih baik dari membaca banyak ayat namun langsung tidak difahami.
Bagi menambah kefahaman ayat-ayat al-Quran, saya sarankan Ummu Hakim memiliki beberapa jenis kitab tafsir dalam Bahasa Melayu.
Ada beberapa kitab tafsir lengkap 30 Juzuk seperti;-
1. Terjemahan Tafsir Fi Zhilal al-Quran karya al-Syahid Syed Qutb.
Terjemahan dalam Bahasa Malaysia dihasilkan oleh Yusuf Zaki Yaakub. Tajuk yang diterjemahkan berbunyi ‘Di Bawah Naungan Al-Quran’. Harganya agak mahal yakni RM3000/set.

Penerbitnya dari Kelantan.
Kawan saya seorang doktor telah membelinya dengan cara bermain kutu. Dia mengumpul 10 orang kawan-kawannya yang mahu memiliki tafsir tersebut dan mengutip RM300/seorang sebulan. Setiap bulan, seorang daripada ahli akan memiliki tafsir tersebut.
fi-zilal
Alternatif kepada terjemahan edisi Bahasa Malaysia ialah terjemahan dalam Bahasa Indonesia. Suami saya membeli edisi Bahasa Indonesia semasa berkunjung ke sana kerana ia jauh lebih murah. Kalau tidak silap saya tidak sampai RM500. Kalau beli di Malaysia, mungkin lebih mahal tetapi belum sampai RM1000 rasanya.
Kalau mampu, sebaik-baiknya dapatkan terjemahan Bahasa Melayu kerana lebih mudah difahami.
Antara keistimewaan tafsir ini ialah pengarangnya tidak mengutip kisah-kisah Israiliyyat yang diragui kebenarannya.
Sesiapa yang memahami Bahasa Arab, lebih baik baca dalam Bahasa Arab kerana antara ciri istimewa tafsir ini ialah pada kesusasteraan Arab yang menjadi bidang kepakaran Syed Qutb. Ia juga boleh dibaca di web http://www.altafsir.com/ .
2. Tafsir Al-Azhar karya HAMKA (Bahasa Indonesia).
3. Tafsir Ibnu Kathir (Bahasa Indonesia)
Harga RM170/set.

Tafsir yang tidak lengkap 30 Juzuk pula antaranya ialah;
1. Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
1.1. Tafsir Surah Hud
1.2. Tafsir Surah Nuh
1.3. Tafsir Al-Furqan

2. Tafsir Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
2.1. Tafsir Surah al-Fil (Gajah) dan Surah al-Hasyr (Pengusiran)

3. Terjemahan Tafsir al-Munir karya Dr Wahbah al-Zuhayli.
Sehingga kini, hanya Juzuk 28 dan Juzuk 29 yang sudah diterjemahkan dan diterbitkan. Insya Allah, ia diterjemahkan dalam Bahasa Melayu moden oleh sekumpulan pakar-pakar tafsir tempatan.

Saya memiliki stok kedua-dua juzuk Tafsir al-Munir edisi kulit keras. Juzuk 29 berharga RM45 dan Juzuk 28 berharga RM40.
4. Tafsir Surah An-Nur (Kehidupan dan Pergaulan Dalam Rumahtangga Islam) karya Ahmad Sonhadji Mohamad.
Mengenai Tafsir Pimpinan al-Rahman (TPR), saya akui Bahasa Melayu (BM) yang digunakan merupakan BM era 80-an. Ditambah pula kaedah terjemahannya yang agak terikat dengan nahu (tatabahasa) Bahasa Arab. Justeru terdapat ayat-ayat atau cerita yang sukar difahami.
Disiplin Memahami Al-Quran
Selain kitab-kitab tafsir, saya cadangkan juga Ummu Hakim dapatkan buku-buku berkaitan Al-Quran seperti;
1. Buku Pengantar Usul Tafsir (Ulum al-Quran) karya Dr Fauzi Deraman dan Mustafa Abdullah.
2. Buku berkenaan sebab-sebab turunnya ayat al-Quran (Asbab al-Nuzul).
Saya tidak mempunyai maklumat kiranya terdapat buku Asbab al-Nuzul dalam Bahasa Melayu. Namun dalam kitab tafsir seperti Tafsir al-Munir ada diterangkan tentang sebab turun satu-satu ayat.
Kedua-dua ilmu ini harus difahami bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai maksud ayat-ayat al-Quran.
Walaubagaimanapun, sekiranya Ummu Hakim atau mana-mana pembaca berpeluang belajar melalui guru, ia adalah yang TERBAIK dan menepati sunnah dalam memahami ajaran Islam.
Membaca adalah sebagai wasilah menambah ilmu di dada.
Saya harap maklumat di atas membantu Ummu Hakim.
Mohon maaf di atas segala kekurangan.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Ummu Abbas
3.31pm
30 Rabiul Awwal 1430H

sumber

No comments:

Post a Comment