Wednesday, 12 September 2012
Pemakanan Dan Penjagaan Kambing
Dedaun Hijau
Makanan asas kambing adalah rumput dan dedaun hijau. Rumput yang biasa didapati dan sangat digalakkan untuk pemakanan kambing adalah rumput Napier, manakala spesis Napier terbaik adalah dari baka Napier Taiwan. Di samping mengandungi serat (fiber) untuk membantu penghadaman makanan, ia juga mempunyai kandungan protein yang sangat tinggi berbanding rumput jenis lain, iaitu sekitar 14%. Selain itu Napier Taiwan tidak berbulu/bersisik, dengan itu tidak mencederakan mulut kambing apabila memakannya.
Batang rumput Napier biasanya dipotong hampir ke paras tanah. Batang akan tumbuh dan membesar semula dan kebiasaannya boleh kembali dituai dalam tempoh di antara 4-8 minggu, bergantung kepada kesuburan tanah dan kandungan air. Penting sekali diingat bahawa, rumput Napier memerlukan kelembapan tanah yang sangat tinggi untuk membesar dengan subur. Rumput Napier biasanya dipotong halus iaitu kira-kira 1-2 inci panjang menggunakan mesin chopper.
Selain rumput Napier, daun petai belalang juga merupakan dedaun yang sesuai untuk makanan kambing. Di samping itu, daun sawit dan lain-lain rumput boleh juga diberi sebagai makanan tambahan. Daun sawit diberi terus bersama batang dan pelepah, kerana kambing biasanya hanya memakan bahagian daun sahaja manakala lidi dan pelepahnya dibiarkan. Daun sawit tidak dipotong untuk mengelakkan kambing memakan lidinya yang boleh merosakkan saluran pemakanan dan usus.
Dalam memberi makanan dedaun kepada ternakan kambing, penternak harus berwaspada supaya apabila memberikan dedaun yang bergetah (seperti daun pohon getah), dedaun ini harus dijemur dahulu supaya getahnya kering. Kandungan getah dalam dedaun boleh menyebabkan kambing anda mengalami kembung, yang boleh membawa maut jika tidah dirawat segera.
Makanan Konsentrat
Makanan konsentrat dalam bentuk palet atau dedak juga seharusnya diberi kerana ia sangat penting untuk penggemukan (fattening). Secara umumnya, konsentrat mengandungi pelbagai zat dan khasiat seperti berikut:
1. Protein
2. Lemak
3. Gentian/serat (fiber)
4. Kalsium
5. Fosforus
6. Ekstrak tanpa nitrogen (NFE)
7. Sumber tenaga (metabolisme)
Harus diingat bahawa sekiranya konsentrat dalam bentuk dedak diberi, ia harus dilembabkan dahulu supaya debunya tidak berterbangan lalu memasuki hidung dan rongga pernafasan seterusnya ke paru-paru kambing anda. Dalam jangkamasa panjang, ini akan memudaratkan kesihatan kambing anda.
Biasanya, konsentrat (palet atau dedak) dicampurkan dengan bahan lain yang lebih murah tetapi mengandungi pelbagai zat dan khasiat seperti hampas soya, bahagian kulit/selaput dari kekacang, beras, barli atau gandum. Ini dapat mengurangkan kos pemakanan bagi kambing anda.
Rumput seharusnya diberikan sewaktu pagi sebagai "breakfast" manakala makanan konsentrat diberi sewaktu petang. Tabiat ini dapat mengelakkan kambing dari terkena ceret beret kerana dedaun hijau mengandungi serat (fiber) .
Ubat-ubatan Asas
Ubat-ubatan asas yang sangat perlu dan wajib ada dalam penternakan kambing adalah seperti berikut:
1. Ubat luka - Iodin (untuk luka-luka biasa),Prosanex (untuk luka-luka berulat)
2. Antibiotik
3. Ubat cacing 3-serangkai (cacing, kutu, kurap) samaada suntikan atau sapuan pada kulit
4. Ubat cacing oral (dalm bentuk 'emulsion' berwarna putih)
5. Ubat ceret beret - Scourban Plus
6. Ubat "sulpha dimidine" (untuk protozoa coccidiosis)
7. Ubat puru
8. Vaksin 'anti-pasteurellosis' (untuk elakkan risiko wabakpneumonia)
Harus diingat bahawa cacing biasa merayap pada rumput dan akan berpindah ke dalam perut kambing yang memakannya. Dari itu rumput yang sudah dipotong sebaik-baiknya dibiarkan untuk beberapa ketika di bawah cahaya matahari untuk menghalau cacing keluar dari timbunan rumput.
Supplement
Antara supplement yang digalakkan adalah seperti berikut:
1. Blok vitamin Boslic
2. Blok Molas
2. Garam jilatan
Ref
http://www.google.com/gwt/x?hl=en&u=http%3A%2F%2F123agrofarm.blogspot.com%2F2009%2F03%2Fpemakanan-dan-penjagaan-kambing.html&client=ms-rim&q=makanan+kambing+boer&sa=X&ei=ZBVLULulBpTq2wWlqYCABg&ved=0CBkQFjAA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment