Sunday, 31 May 2026

Terdampar di hilir Sungai Kinabatangan

 

Mac 2004, saya menjejak kaki ke Morisem Palm Oil Mill ‘B’ sebagai seorang kadet jurutera.

Sebuah kilang yang ketika itu baru beroperasi kurang daripada setahun, namun sudah gah berdiri sebagai kilang sawit terbesar dalam syarikat, berkapasiti 120 mt/jam. Dibina megah di atas kaki bukit, dengan dua cerobong boiler berkapasiti 45 mt/jam model water tube Mechmar menjulang ke langit.

Seorang rakan berkongsi gambar kilang tersebut yang dirakam pada tahun 2020, ketika dunia dibungkus sunyi oleh COVID-19.

Semasa saya mula menyertai kilang ini, pokok-pokok sawit masih muda, usianya belum pun mencecah 10 tahun. Saujana mata memandang. Pemandangan kilang sawit inilah yang menjadi saksi tempat saya memulakan kerjaya sebagai jurutera stim, menjadi seorang suami, dan memulakan kehidupan sebagai seorang ayah kepada puteri pertama kami.

Di sinilah semuanya bermula.

Sebenarnya, selepas tamat pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanik di Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal pada tahun 2003, perjalanan hidup membawa saya berpindah tempat kerja dari Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Akhirnya saya terdampar ke sebuah tempat asing yang tidak pernah dijejaki sebelumnya — pendalaman Sungai Kinabatangan.

Perjalanannya bukan mudah.

90 kilometer melalui Jalan Jeroco yang berbatu. Laluan kedua pula melalui feri di Kampung Sukau sebelum menyusuri Jalan Sukau ke Kinabatangan yang sama kasarnya. Kedua-duanya memakan masa lebih tiga jam untuk sampai ke Bandar Lahad Datu ataupun Sandakan.

Nama kilang sawit Morisem mempunyai huruf ‘B’ kerana Kilang Sawit Morisem pertama terletak di sebelah hilir Sungai Kinabatangan. Awal tahun 2000, kilang tersebut ditutup akibat isu alam sekitar kerana lokasinya yang terlalu hampir dengan Sungai Kinabatangan.

Perjalanan kerjaya dan kehidupan saya membina keluarga kecil bersama isteri di sini cukup berwarna-warni.

Jauh daripada keluarga di Kelantan. Berada di tempat asing dan terpencil, di tengah ladang sawit yang jauh daripada bandar dan segala kemudahan. Setahun kemudian saya berkahwin, lalu membawa isteri masuk ke dunia ladang sawit yang serba sederhana namun penuh cerita.

Mempunyai mentor dan rakan sekerja yang baik adalah rahmat paling besar dalam permulaan kerjaya saya.

Rakan serumah saya mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri sawit, seorang anak tempatan dari Kota Belud, Sabah. Beliaulah insan pertama yang meniup inspirasi dalam jiwa saya untuk mengembara ke seluruh pelusuk negeri Sabah.

Cerita-ceritanya tentang keindahan Ranau, Kundasang dan Gunung Kinabalu cukup mengujakan saya.

Dan ya… memang benar.

Sabah itu terlalu indah.

Dari Gunung Kinabalu ke Pantai Kalampunian, dari hutan tropika Lembah Danum ke Sungai Kinabatangan, hinggalah ke gugusan pulau-pulau Semporna.

Dalam bertatih menjadi seorang jurutera, saya sangat bertuah kerana mempunyai seorang ketua yang juga merupakan seorang jurutera profesional berpengalaman puluhan tahun dalam industri sawit serta beberapa syarikat ternama negara.

Beliau sering menasihati saya supaya mendalami ilmu pengurusan dengan lebih serius.

Kerana beliau, hari ini saya bergelar jurutera profesional, di samping memiliki kemahiran dalam bidang pengurusan hasil fokus yang diberikan kepada kedua-dua bidang tersebut.

Namun, di kolam takungan biru ini juga, tersimpan satu pengalaman yang sangat menyayat hati.

Seorang kanak-kanak mati lemas ketika memancing bersama datuknya.

Kawasan itu sebenarnya kawasan larangan memancing.

Itulah kematian pertama yang berlaku di depan mata saya sendiri.

Sehingga hari ini, kejadian itu masih segar dalam ingatan — saat bagaimana saya turut turun menyelam bersama-sama dalam usaha mencari mangsa lemas tersebut.

Peristiwa itu membentuk jiwa saya.

Ia menanam semangat yang lebih kental dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan di tempat kerja.

Di kilang ini juga, saya sempat berguru dengan empat orang pengurus yang masing-masing mempunyai karakter kepimpinan yang berbeza.

Kesemuanya menjadi pengajaran dan pedoman dalam mendepani tanggungjawab pada masa hadapan.

Yang baik diambil.

Yang kurang baik dijadikan sempadan.

Namun, kesemua mereka tetap memberikan asas pengurusan yang kuat untuk perjalanan lebih 20 tahun kerjaya saya selepas itu.

Sebagai insan baru, muda dan masih kering pengalaman, setiap butir nasihat mentor serta rakan sekerja cukup memberi motivasi, inspirasi dan kekuatan kepada diri untuk terus berdiri, walau di mana jua berada.

Pada tahun 2009, saya berpindah ke syarikat baharu di Loagan Bunut, Miri, Sarawak.

Sejak itu, saya mula menulis dan menjadi mentor kepada ramai pengikut di Blog Kembara Insan.

Kenapa?

Kerana itulah cara saya menunjukkan rasa syukur atas jasa orang-orang lama yang pernah membimbing saya.

Saya curahkan pengalaman dan ilmu kepada jiwa-jiwa muda.

Dan sehingga hari ini…

saya masih lagi menulis.

Semoga setiap perkongsian ini terus memberi manfaat.

Kredit gambar: FB Zul Rahman.

#KembaraInsan #blog #sawit #mpob #LahadDatu #ranau #sabah #borneo #sarawak

No comments:

Post a Comment