Sumber ; Berita Harian
KULAT Ganoderma hidup di pangkal batang pokok sawit.KULAT Ganoderma hidup di pangkal batang pokok sawit.
Hasil buah berkurangan, pokok mati 

PENYAKIT utama yang menyerang pokok sawit di Malaysia adalah penyakit Reput Pangkal Batang (RPB) yang disebabkan oleh kulat ganoderma. RPB adalah penyakit sangat bahaya kepada tanaman sawit di Malaysia kerana ia boleh menggugat kemajuan industri sawit negara. 

Terdapat juga penyakit lain yang menyerang sawit, bagaimanapun ia tidak serius seperti RPB. 

Serangan awal kulat ganoderma ke atas pokok sawit akan menyebabkan berlakunya pengurangan hasil buah tandan segar dan seterusnya pokok akan mati. 

Berdasarkan bancian penyakit RPB di Malaysia pada 2009, sebanyak 53 peratus (471) estet melaporkan kejadian penyakit ini manakala keluasan kawasan penanam sawit yang diserang ini adalah 3.02 peratus (40,600 hektar). 

Kesan daripada penyakit ini ialah kerugian hasil sebanyak RM1.1 bilion. 
Serangan penyakit ini berlaku ke atas pokok muda dan matang. Bagi kawasan pokok pertama kali ditanam kelapa sawit, kebiasaannya penyakit ini akan ditemui pada pokok yang berusia lebih 10 tahun selepas ditanam. 

Bagaimanapun, untuk pokok generasi kedua atau penanaman untuk kali kedua, kebiasaannya pokok yang dikenal pasti adalah pada usia 12 bulan selepas ditanam terutama pada kawasan bawahan. 

Kulat ganoderma hidup dalam akar atau batang sawit dan akan mati apabila batang atau akar reput. 

Sekiranya penyakit ini ada pada tunggul sawit, ia akan mati selepas 15 tahun pokok itu tumbang. 

Untuk mengatasi masalah ini, Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan GanoSken bagi mengesan jangkitan ganoderma pada pokok sawit. 

Penyelidik MPOB, Dr Idris Abu Seman, berkata teknologi baru, penggunaan bio-sensor tomografi untuk mengesan jangkitan awal ganoderma di dalam pokok sawit berjaya dibangunkan MPOB bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti La Rochelle, Perancis. 

“Bio-sensor tomografi yang dibangunkan dinamakan sebagai GanoScan1TM. Alat ini akan dipasang pada batang pokok sawit dan pengimejan jangkitan awal penyakit dalam batang pokok sawit akibat serangan kulat ganoderma akan dapat dilihat terus di komputer. 

“Keluasan kerosakan batang akibat serangan ganoderma juga dapat dikira. Ini membolehkan kawalan penyakit menggunakan racun kulat hexaconazole yang disuntik ke dalam batang pokok sawit menjadi lebih efektif untuk membunuh kulat ganoderma,” katanya. 

Mengulas cara penggunaan alat itu, Dr Idris berkata, pengesanan dilakukan ke atas pokok sihat di mana bio-sensor digunakan dan dipasang di keliling pangkal pokok. 

Sekurang-kurangnya enam bio-sensor dipasang di pangkal pokok. Bagaimanapun, untuk mendapat keputusan yang lebih baik, sebaik-baiknya gunakan 10 bio-sensor atau lebih. 

Daripada bio-sensor berkenaan, gelombang akan diperoleh dan seterusnya ia dipindahkan ke dalam komputer yang mempunyai perisian yang dibangunkan untuk program itu. 

Selepas itu, keputusan akan diperoleh di mana pokok yang sakit akan mengeluarkan warna hijau, manakala batang yang sihat akan berwarna coklat. 

Masa yang diambil untuk menjalankan ujian ke atas satu pokok adalah 12 minit bermula dari proses pemasangan alat bio-sensor sehinggalah keputusan diperoleh. 

Melalui keputusan diperoleh itu, proses merawat dilakukan dengan cara melakukan suntikan terus ke bahagian batang yang rosak. 

Untuk merawat pokok sakit, racun kulat hexaconazole digunakan pada kadar 4.5 gram bahan aktif sepokok yang dilarutkan dalam 10 liter air yang disuntik ke dalam batang pokok menggunakan injektor. 

Pokok yang pulih hasil rawatan ini akan mengeluarkan daun yang segar dan menghasilkan buah. 

Bagi suntikan yang tidak berjaya, pokok tidak berbuah sementara daun kekuningan dan seterusnya pokok akan mati. 

GanoScan1TM menjalani ujian di dua ladang iaitu di stesen MPOB Teluk Intan dan Ladang Felcra, Seberang Perak. 

Daripada ujian ladang, didapati sebanyak 33 peratus pokok yang sihat dikesan dijangkiti penyakit ini. 

Sebelum adanya alat pengesan ini, pihak ladang biasanya mengesan pokok yang sakit berdasarkan simpton luaran penyakit seperti adanya ganoderma atau daunnya kelihatan kekuningan dan kering. 

Apabila simptom ini kelihatan ia bermakna pokok ini sudah mengalami kerosakan yang teruk dan tidak boleh dipulihkan lagi dan pokok itu perlu dimusnahkan. 

Dengan adanya alat ini, produktiviti pokok dapat ditingkatkan, pokok yang sakit dapat dirawat dan dipulihkan dan seterusnya membuahkan hasil. 

Teknologi yang sedang dibangunkan ini dalam proses untuk dipatenkan dan akan dipindahkan kepada syarikat perladangan yang berminat menggunakannya. 

Dijangka, dalam masa tiga bulan lagi, teknologi ini akan dipindahkan kepada syarikat yang berminat dan sehingga kini ada dua kumpulan ladang berminat mengambil teknologi itu.