Saturday 3 March 2018

Makkamaseh, Guru Boilerku



Makkamaseh. Bapanya Mohdridzwan Makkamaseh. Adalah guru Boiler saya yang pertama. Semasa saya pertama kali menjejak kaki ke Morisem Palm Oil Mill 'B'. Pertama kali jejak kaki di industri sawit. Pertama kali nampak boiler. Beliau ada lesen boilerman gred 2. Sebelum tahum 2000, JKKP benarkan pemegang pasport untuk mengambil lesen boiler, namun selepas itu ia dihentikan. Saya percaya, jika ia masih dibenarkan, beliau mampu capai lebih jauh daripada sekadar gred 2.

Kisah dia sebagai guru saya sangatlah indah. Setiap kali diaju soalan, sudah pasti dia akan panjang lebar menerangkan kepada saya sehingga saya betul - betul faham. Pada masa itu, FMA belum lagi diterjemah ke bahasa Melayu. Yang ada cuma berbahasa English. Saya terjemahkan kepada beliau, dan beliau akan jelaskan yang selebihnya.

Dalam bab menjaga kerja dan menjaga boiler, dialah yang paling sayang kepada boiler. Dialah orang pertama yang akan jumpa dengan pengurus jika apa sahaja masalah berkaitan boiler timbul. Dialah yang akan melakukan apa sahaja sehingga boiler dibaiki seperti sepatutnya. Komitmen, determination dan usaha yang tidak berbelah bagi kepada kerja.

2004 hingga 2006 bersama beliau, hinggalah saya mula berpindah ke kilang lain. Saban hari dan saban ketika, saya sentiasa berharap akan jumpa seorang boilerman yang sama seperti beliau. Sudah lebih 12 tahun, saya boleh katakan, saya belum lagi jumpa seorang boilerman berdedikasi seperti beliau.

Saya masih tidak mampu untuk membalas jasa beliau kepada saya. Semoga kamu dan keluarga dirahmati dan diberkati Allah selamanya. Doa saya selamanya untuk kamu. Terima kasih guruku.

No comments:

Post a Comment