Sebuah Perjalanan Bermula dari Ladang Sawit: 17 Tahun Mengukir Inspirasi di Kembara Insan
Saya sering ditanya, kenapa saya menulis di blog Kembara Insan sejak tahun 2009? Jawapannya bermula dari sebuah kawasan terpencil, jauh dari hiruk-pikuk bandar.
Pada awal tahun 2000-an, saya mula bertugas di ladang sawit, sebuah kawasan yang sunyi tanpa sebarang liputan talian telefon. Untuk sampai ke sana, perjalanan tiga jam di jalan berbatu perlu ditempuhi. Kehidupan di situ sungguh menyendiri, namun ia mengajar saya erti kesabaran.
Setelah dua tahun, saya berhasrat untuk mengambil peperiksaan jurutera stim. Namun, cabaran besar timbul. Dengan keadaan perhubungan yang sukar, saya sukar untuk mendapatkan maklumat dan ilmu berkaitan boiler. Peluang belajar hanya datang apabila saya sempat bertemu dengan rakan-rakan dari syarikat lain, terutamanya ketika berada di FGV Felda Sahabat.
Di tengah kesukaran itu, saya mula menyelami dunia industri sawit negara. Saya amat teruja. Industri ini memiliki keunikan tersendiri; ladang sawit yang luas terbentang sejauh mata memandang. Sabah, sebagai pengeluar minyak sawit terbesar negara, mempunyai lebih dua juta hektar ladang sawit, dan lebih 120 buah kilang sawit tersebar di serata negeri. Namun, satu perkara yang jarang diceritakan oleh netizen adalah kehidupan dan pengorbanan insan yang bergelumang dengan industri ini.
Titik perubahan tiba pada tahun 2009. Saya mula menyewa di Miri, Sarawak, kerana anak sulung saya sudah berusia enam tahun dan perlu bersekolah. Kami akhirnya menetap di sebuah rumah sewa. Di sinilah, buat pertama kalinya sejak berada di ladang sawit, saya mendapat akses kepada talian internet. Nikmatnya internet terasa sangat luar biasa, terutama setelah bertahun-tahun hidup dalam kawasan terpencil.
Saya masih ingat pertama kali saya bertemu semula dengan rakan-rakan sekolah dan universiti di Facebook. Perasaan itu sungguh mengasyikkan.
Atas niat untuk menghargai nikmat internet yang saya perolehi, saya bertekad untuk menggunakannya sebaik mungkin. Maka, saya buka akaun blog yang saya namakan Kembara Insan. Dan saya mula menulis.
Apa yang saya tulis?
Pertama, saya tulis tentang pengalaman saya dalam industri sawit. Saya ingin berkongsi suka duka, apa sahaja yang telah dikorbankan oleh warga sawit demi kemajuan negara. Kedua, saya banyak berkongsi ilmu tentang persediaan menghadapi peperiksaan jurutera stim, sebagai memori dan bantuan kepada mereka yang melalui laluan yang sama. Kemudian, apabila saya menyambung pelajaran di peringkat master, saya jadikan blog ini sebagai medium untuk saya belajar, mencatat, dan berkongsi.
Begitulah apa yang telah saya lakukan sejak 17 tahun yang lepas. Satu perjalanan panjang yang bermula dari sebuah ladang sawit yang sunyi, hingga menjadi ruang digital yang hangat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.
Kini, blog ini telah mencapai total lebih 1.4 juta tontonan. Saya tidak menyangka sebuah catatan kecil dari seorang yang pernah tersekat tanpa talian telefon mampu memberi impak sebesar ini.
Semoga blog Kembara Insan ini terus memberi inspirasi kepada semua.
No comments:
Post a Comment