Tuesday 29 September 2015

Tiga Insan Yang Saya Kagumi Dalam TOASTMASTERS

Sejak sertai TI April 2013 hingga kini, saya telah menjadi ahli kepada 4 kelab di Sandakan dan Lahad Datu. Menjadi Charter Presiden dan juga Triple Crown pertama sesi 2014-2015. Saya amat kagumi 3 insan yang menyebabkan saya sentiasa bersemangat meneruskan perjalanan dalam Toastmasters tanpa henti. Ibarat kata Area Director Shane Ho, a running Toastmaster.

Tiga insan itu adalah Datuk Hasan Sandukong, Hj Ir Azmer dan Hjh Kasmah. Mereka adalah contoh kepada saya kenapa saya mesti teruskan usaha dalam Toastmasters. Ada ramai lagi ahli yang saya kagumi, namun itu sekadar contoh utama.

Saya amat kagum dengan Datuk Hasan Sandukong kerana beliau sudah berada di kemuncak kerjaya dan hidup beliau. Pernah berkhidmat sebagai Speaker DUN Sabah dan telah berusia, namun beliau nekad terus aktif dalam Toastmasters hingga kini. Mengulang - ulang modul CC hingga kali ke 13 dan kini masih melakukan perkara yang sama! Hadir ke mesyuarat di dua kelab, malah hadir ke banyak program kelab dalam dan luar daerah. Beliau mengajar saya erti usia bukan penghalang dalam melakukan sesuatu terutama dalam BELAJAR. Beliau sebenarnya banyak MENGAJAR saya untuk menjadi lebih hebat!

Insan kedua adalah Hj Ir Azmer Shamsuddin. Insan yang amat sibuk pernah saya temui. Aktif dalam pelbagai bidang mahupun persatuan. Beliau juga berada di tahap tertinggi kerjaya, namun tetap meluangkan masa meneruskan perjalanan dalam Toastmasters. Aktif dalam 2 kelab. Jika dikaji dari segi masa dan sibuk, beliau adalah orang paling layak untuk memberikan alasan terbabit. Namun, masa bukan alasan beliau. Komitmen dan sikap beliau amat menakjubkan. Sikap beliau yang rendah diri menyebabkan hilang rasa sombong dalam diri saya yang tidak punya apa - apa. Jika beliau boleh lakukan, kenapa pula kita yang lebih jual mahal? Adakah kita sudah lebih baik dari beliau?

Insan ketiga adalah Presiden Hjh Kasmah Mukmin. Beliau sangat unik. Beliau sangat hebat. Di usia emas, beliau sanggup menggalas tugasan sebagai presiden kelab. Bukan satu persatuan beliau ikuti, malah 6 persatuan beliau bergiat aktif. Jika usia lebih 60 tahun menjadi alasan, tidak kepada insan ini. Wajahnya sentiasa ceria dengan senyuman. Cekal melayan kareneh pelbagai ahli. Terus tekad dalam Toastmasters.

Ketiga - tiga insan di atas amat saya kagumi. Mereka adalah ikon kepada Toastmasters. Contoh insan bergelar pemimpin yang dilahirkan oleh organisasi bertaraf antarabangsa. Bukan rhetorik malah bukti nyata di depan mata. Perjalanan dan pengembaraan dalam Toastmasters akan membawa semua ahli ke perhentian kejayaan yang tidak pernah anda gambarkan. Ayuh, sertai kami hari ini!

Zulkefli Muhammad, ACS, CL
CHARTER PRESIDEN
TOASTMASTERS BANGSAWAN LAHAD DATU

No comments:

Post a Comment