“Andai api boleh memacu roda ini,” bisiknya perlahan.
John bukanlah yang pertama dengan impian itu. Berabad-abad sebelum dia, Hero dari Alexandria di zaman Yunani kuno telah mereka sejenis turbin reaksi yang digerakkan oleh wap panas. Ratusan tahun kemudian, Leonardo da Vinci pula mencipta “kilang asap” yang memanfaatkan tekanan gas. Dan Giovanni Branca pula pada tahun 1629 melakar turbin impak yang digerakkan oleh wap. Semua mereka, seperti John, hanyalah pengembara idea — terkurung oleh keterbatasan teknologi zamannya.
Namun John bertekad untuk lebih daripada sekadar impian. Dalam patennya, dia membayangkan gas dihasilkan daripada arang dipanaskan, dicampur dengan udara, dimampatkan, dan dibakar. Gas berkelajuan tinggi itu akan memutar bilah turbin. Walau tidak terhasilnya mesin sempurna, benih sudah tertanam.
Abad 19: Benih mula bertunas
Tahun 1808, John Dumball memikirkan turbin berbilang peringkat, tetapi dia tidak memahami bahawa setiap peringkat perlu ada sirip pegun untuk mengatur aliran udara. Tanpa itu, ideanya kekal di atas kertas.
Pada 1837, di Paris, Bresson mencipta sistem di mana kipas akan memampatkan udara ke dalam kebuk pembakaran. Udara panas bercampur dengan bahan api dan hasilnya digunakan untuk memutar turbin. Tambahan udara sejuk pula membantu menyejukkan campuran — satu ilham yang kelak menjadi asas teknik penyejukan bahagian turbin moden.
Tahun 1850, di England, Fernimough membayangkan turbin hibrid gas dan wap. Dia mahu meniup udara melalui bara arang, kemudian menyembur air ke dalam gas panas, mencipta wap untuk memacu bilah turbin. Idea ini menjadi dasar kepada teknik suntikan air moden, yang membantu menambah kuasa dan mengawal NOx.
1872: Usaha menjadi nyata
Nama baru muncul: Dr. Franz Stolze. Dia menggabungkan idea Barber dan Dumball untuk mencipta pemampat aliran paksi (axial compressor) dan turbin aliran paksi (axial turbine). Ia adalah rekabentuk yang revolusioner: udara dimampatkan secara berperingkat, dipanaskan, dan kemudian memacu turbin. Stolze juga menambah penjana haba (regenerator) untuk menggunakan semula haba buangan, meningkatkan kecekapan.
Namun, kerana kekurangan dana, mesin ini hanya dibina pada 1900, dan diuji sehingga 1904. Malangnya, ia gagal mencapai kelajuan operasi yang diperlukan untuk berfungsi. Namun kegagalan ini adalah satu langkah besar dalam sejarah.
Akhir abad ke-19: Api dan besi mula bergerak
Pada 1884, Sir Charles Parsons mempatenkan turbin wap reaksi yang berfungsi dengan baik, manakala Charles de Laval pula mencipta turbin impak berkelajuan tinggi. Usaha mereka memecah jalan buntu yang menghalang kemajuan teknologi selama ratusan tahun.
Pada 1895 dan 1896, jurutera seperti August Rateau, Charles Curtis, dan Dr. Zoelly memperhalusi turbin impak, menghasilkan rekabentuk lebih cekap. Pengalaman membina turbin wap ini menjadi asas kukuh kepada pembangunan turbin gas.
Abad 20 bermula: Benih menjadi pohon
Tahun 1903, Rene Armengaud dan Charles Lemale berjaya membina dan menguji turbin gas berasaskan pemampat putar Rateau dan turbin stim Curtis. Biarpun hanya mesin percubaan, ia membuktikan konsep turbin gas boleh berfungsi dalam bentuk sebenar.
Dari detik inilah, sejarah tidak lagi sekadar lakaran. Dari tangan manusia yang berani mencabar batas, benih-benih angin, api dan wap berkembang menjadi teknologi moden yang menggerakkan dunia — dari kapal terbang di langit hingga loji janakuasa yang menerangi kota.
Tamat
No comments:
Post a Comment