Dalam dunia yang penuh pancaroba, kebenaran sering menjadi bayang-bayang yang dilupakan. Namun aku percaya, kejujuran itu bukan sekadar prinsip—ia adalah akar yang mengikat iman kepada tindakan. Dan dalam kerjaya selama lebih dua dekad sebagai jurutera, aku menyaksikan sendiri bagaimana kejujuran diuji, dicabar, dan kadangkala, ditewaskan.
Aku pernah ditempatkan di sebuah kilang sawit yang baru. Namun perpindahan itu bukan seperti angin biasa. Ia penuh beban. Pengurus lama telah diberhentikan akibat salah laku berat. Aku diarahkan untuk mengambil alih dan juga diarahkan oleh pihak pengurusan untuk membuat laporan polis. Tanpa banyak soal, aku jalankan amanah itu. Dalam dunia kerja, ada masa kita terpaksa menjadi orang yang tidak digemari demi memastikan kebenaran tidak terus dihumban ke longkang.
Kes itu bukan satu. Ada banyak. Penjualan besi buruk tanpa rekod, dokumen palsu dari pembekal, bayaran cek yang disahkan untuk invois yang barangnya tidak pernah pun sampai ke kilang—semua ini menjadi sebahagian dari senarai hitam yang aku sendiri saksi. Dan setiap kali itu juga, hatiku bertanya: "Ke mana hilangnya nilai jujur?"
Pernah aku berjenaka bersama rakan sekerja, “Kalau kita nak menipu pun, biarlah setimpal.” Aku senyum sinis, “Kita jurutera menipu besi buruk RM10 ribu, tapi planter kalau nak menipu, boleh songlap baja bernilai ratusan ribu.” Ia bukan sekadar jenaka kosong, tapi sindiran yang menyentak hati. Bukan soal jumlah, tapi soal nilai diri.
Namun, apa yang membezakan aku dari hanyut bersama arus kecurangan itu adalah satu perkara—pegangan agama. Ia menjadi benteng yang tak dapat diceroboh oleh desakan nafsu mahupun tekanan sekeliling. Agama mengajar bahawa setiap sen yang haram itu akan menjadi bara di akhirat kelak. Ia mengajar bahawa kerja itu ibadah. Dan ibadah itu hanya sah jika dilakukan dengan jujur.
Kejujuran adalah pelita. Ia menerangi laluan walau kiri kanan diliputi kegelapan. Aku tidak mengatakan aku sempurna, tapi aku pegang satu perkara: Honesty is the best policy. Ia bukan slogan, tapi prinsip hidup yang memberi ketenangan paling dalam.
Ada yang mengatakan dunia sekarang sudah berubah. Kejujuran dan integriti kononnya tidak lagi bernilai. Tapi aku percaya, dunia ini tetap perlukan orang-orang jujur. Dunia tetap perlukan jurutera yang bukan hanya pandai mengira tekanan wap dan suhu minyak, tapi juga tinggi integriti dan takut kepada Tuhan.
Dan aku, biar seribu kisah pecah amanah berlaku di sekelilingku, akan tetap memilih untuk berdiri bersama kejujuran. Kerana dalam dunia yang makin gelap, satu cahaya kecil pun cukup untuk menunjukkan jalan yang benar.
“Jika kamu jujur, kamu tidak perlu takut pada apa pun, kecuali Tuhan.”
No comments:
Post a Comment