Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
Surah al-Baqarah, ayat 183.
Memahami tujuan hidup
Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa sebarang masalah akan dirujuk kepada pawang atau bomoh.
Selalu juga berlaku, sebahagian atau segelintir orang mengambil langkah penyelesaian kepada pelbagai masalah itu dengan cara mengadu kepada kuasa lain selain Allah SWT. Cara itu adalah khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.
Semua itu menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara fitrahnya, manusia perlu kepada Tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapa yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.
Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya Tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui Tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan jasad manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Dengan kata lain, manusia diseru agar mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Pengabdian kepada Allah SWT merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Pencipta.
Al-Quran panduan hidup
Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut tujuan tanah, air, api, dan udara atau sebagainya adalah berguna kepada manusia. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, siapakah yang dapat menjelaskan tujuan hidup jika tidak Allah SWT sendiri?
Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengetahuan tentangnya.
Demikianlah tujuan hidup manusia. Mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia, iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah (para rasul) yang ditugaskan untuk memandu manusia, bagaimana hidup ini perlu diselaraskan menurut kehendak Allah SWT.
Justeru jurupandu kepada umat ini ialah para ambiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berpandukan al-Quran.
Sehubungan itu, bersempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini (1431H), maka seluruh kehidupan ini hendaklah mengambil pengajaran darinya. Antaranya mengambil ingatan sebaiknya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan al-Qur an. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas sepertimana firman Allah SWT:
"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). "
Surah al-Baqarah, ayat 185.
Puasa memenuhi fitrah manusia
Justeru, antara keberkatan utama bulan Ramadhan adalah difardhukan ibadat puasa sepertimana difardhukan ke atas umat terdahulu. Namun, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain juga merupakan keperluan bagi fitrah manusia. Jika sekalipun agama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas dirinya untuk berpuasa kerana banyak manfaat daripadanya, termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, maka lebih perlulah puasa ditunaikan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan.
Salah satu manfaat besar puasa ialah dapat membukti sejauh mana tanda taat dan tunduknya manusia kepada tuhannya. Manusia selaku hamba Allah, sanggup bersusah payah (dengan berpuasa), demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk menjaga anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita mengutamakan ibadat sepanjang Ramadhan ini, sanggup kita bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.
Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Dari sinilah, hati kita perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.
Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati yang memenuhi tuntutan takwa kepada Allah SWT.
Ingatlah, hilangnya keyakinan terhadap Allah, maka akan hilanglah roh dari ibadat puasa tersebut. Hilangnya roh ibadat puasa itu, maka akan menghilangkan pula ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
"Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam."
Riwayat Ibnu Majah.
Semoga kita semua dapat memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT di sepanjang Ramadhan. Malah, semua ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita, bukan hanya ketika bulan Ramadhan. Harapan kita, agar bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan al-Quran sebagai usaha kita memenuhi apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah, Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.
No comments:
Post a Comment