Aku masih ingat detik itu. Petang yang panas, langkah kaki berat mendaki bukit cerun dari Effluent Treatment Plant menuju ke pejabat. Bersama-sama aku ialah seorang insan yang banyak meninggalkan kesan dalam perjalanan hidupku—Tuan Tahang Muhammad Tang.
Sambil menarik nafas tercungap-cungap, beliau tiba-tiba bertanya,
“Berapa kali perlu follow up setiap kerja yang kita atur kepada pekerja?”
Dengan dada yang masih berombak, aku menjawab spontan,
“Sepuluh kali.”
Beliau berhenti sejenak, menoleh, dan menjawab tegas,
“Tidak! Follow up sehingga siap!”
Aku mengangguk perlahan, namun di dalam hati, kata-kata itu terus berputar. Apakah maksud sebenar beliau? Mengapa perlu begitu?
Hari Berganti Tahun
Tahun demi tahun berlalu. Dari satu kilang ke satu kilang lain. Dari pekerja tempatan hingga pekerja asing. Dari yang muda bersemangat hingga yang sudah beruban penuh pengalaman.
Rambut sama hitam, tetapi hati? Tidak pernah serupa warnanya.
Menguruskan manusia rupa-rupanya tidak semudah memberi arahan. Ia seperti menebas semak, perlu sabar, perlu bijak mencari laluan.
Pelajaran Dari Agama
Aku teringat satu ajaran Islam: mendidik anak untuk solat sejak umur tujuh tahun hingga sepuluh tahun.
5 waktu solat x 365 hari x 3 tahun = 5,475 kali.
Bayangkan, untuk satu anak sahaja, kita perlu ulang ingatkan lebih 5,000 kali. Bagaimana pula dengan pekerja yang sudah dewasa, keras kepala, atau terlalu selesa?
Tiga Tahap: Seni Follow Up
Pengalaman mengajarku bahawa “follow up” juga ada seninya. Aku rumuskan kepada tiga level:
LEVEL 1 – Kaedah lembut dan mendidik.
Berikan latihan, tunjuk sebab dan akibat, letakkan papan tanda, teguran lisan.
Jumlah follow up? Kadang-kadang 30 kali, malah lebih.
LEVEL 2 – Kaedah bertulis.
Surat amaran, memo, email rasmi. Lebih formal, lebih serius.
LEVEL 3 – Kaedah terakhir.
Tindakan disiplin atau penamatan perkhidmatan.
Daripada ratusan pekerja, sekitar 90% cukup hanya dengan Level 1. Selebihnya perlu disentuh dengan Level 2 atau Level 3.
Memimpin Adalah Memahami
Tetapi di sebalik semua tahap itu, yang paling penting ialah seni memimpin manusia—mencari “green key” mereka.
Komunikasi dari hati ke hati.
Eye contact, bahasa tubuh, keikhlasan.
Ada pekerja yang cukup dengan nasihat lembut.
Ada yang perlu disentuh rasa kasih sayang pada anak dan keluarga.
Ada yang perlu diingatkan asal usul dan tujuan hidup.
Ada pula yang perlu ditegur dengan tegas, walau kasar sedikit, supaya sedar.
Sebagai ketua, kita tidak boleh pukul rata. Setiap manusia ibarat pintu berbeza; setiap pintu punya kunci berbeza.
Penutup
Kini, setiap kali aku mengatur tugas, kata-kata Tuan Tahang terngiang kembali:
“Follow up sehingga siap!”
Bukan sekadar sepuluh kali. Bukan sekadar menunggu hasil. Tetapi terus memastikan, memimpin, mengingatkan—hingga kerja benar-benar selesai.
Kerana menjadi pemimpin bukan hanya memberi arahan.
Tetapi memastikan, mendidik, dan follow up lah sampai kerja siap!
No comments:
Post a Comment