Tuesday 29 September 2009

3 Maut Memasuki Kernel Bunker - Ruang Terkurung


Ini adalah contoh 'air vent' yang terdapat pada kernel bunker dari bahagian tepi. Rekabentuk ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko gas beracun terkumpul di dalam kernel bunker.


Sabtu, 26hb. September 2009. Saya menerima SMS dari seorang rakan memaklumkan kemalangan maut melibatkan 3 pekerja kilang di Sabah semasa memasuki kernel bunker akibat sesak nafas di dalam kernel bunker.

Lebih menyedihkan, 2 daripada pekerja tersebut pernah saya kenali semasa bekerja di kilang tersebut. Saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga dan kilang di atas kehilangan yang mengejutkan.

Minda saya terus mencari jawapan kepada punca kemalangan maut tersebut. Setelah mendapatkan maklumat daripada beberapa kenalan di sana, saya menyimpulkan kemalangan tersebut berpunca daripada kesilapan rekabentuk.

Berikut adalah pandangan saya :-

Keadaan semasa kejadian :-

1.1 Bunker No. 5 diisi 150mt kernel @ melebihi >80% isipadu maksimum.

1.2 Arahan dikeluarkan untuk menguji kualiti PK yang terdapat di dalam baunker tersebut.

1.3 Pekerja yang baru ditugaskan untuk kerja - kerja tersebut. 2 rakan yang cuba menyelamatkan beliau mengalami nasib yang sama. Seorang pekerja meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.

1.4 Kualiti PK dengan kadar lembapan yang tinggi (moisture >7%) hasil daripada proses tidak melebihi 10 hari.

Rekabentuk

2.1 Bunker berkapasiti 180MT, bebentuk kon. Bahagian atas bertutup zink dan dihadang oleh dinding zink. Hanya 2 manhole terdapat di ata kon. Keseluruhan bahagian atas tertutup.

2.2 Rekabentuk di atas menyebabkan pengaliran udara di bahagian atas adalah di tahap paling minima. Ujian gas selepas kejadian mendapati bacaan gas oksigen tidak dapat di baca (atau minimun).

2.3 Lain - lain spekulasi mengatakan faktor PK yang lembab juga mempengaruhi gas yang berbahaya dibebaskan. Gas tersebut telah memenuhi kernel bunker dan menyebabkan kandungan oksigen berkurangan.

Penambahbaikan

Penambahbaikan berikut boleh dilakukan untuk mengelakan kejadian yang sama berulang.

3.1 Mematuhi Prosedur Ruang Terkurung - Panduan dikeluarkan oleh JKKP

3.2 Rekabentuk bunker hendaklah mengambil kira faktor pengaliran udara secara semula jadi. Corong udara hendaklah mencukupi untuk memastikan kandungan udara yang berbahaya sentiasa dibebaskan. Untuk kejadian di atas, saya mencadangkan dinding zink dibuka pada ketinggian 4 kaki. Penghadang hendaklah dipasang. Selain untuk mengelakkan gas berbahaya untuk manusia terkumpul di dalam sesuatu ruang terkurung, rekabentuk juga perlu mengambil kira risiko kebakaran.

3.3 Pengurus kilang dan jurutera memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap bahagian kilang tidak berisiko untuk kemalangan. Jawatankuasa Keselamatan yang ditubuhkan perlu berperanan aktif dalam usaha tersebut.

Sesungguhnya kejadian tersebut sekali lagi memberi peringatan kepada tanggungjawab besar yang dipikul oleh seorang Pengurus / Jurutera.


No comments:

Post a Comment