Thursday 23 June 2011

Ramai hidap kencing manis di Kelantan



News : Oleh: HERMAN HAMID

KOTA BHARU 7 Feb. - Kelantan menjadi negeri yang mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis tertinggi iaitu seramai 78,000 orang, dengan kebanyakannya berusia 30 tahun ke atas.

Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati jumlah tersebut melonjak lebih sekali ganda kepada 13 peratus daripada 600,000 penduduk dewasa di negeri ini, berbanding hanya 5.3 peratus 10 tahun lalu.

Jika diambil kaedah perkiraan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ini bermakna hampir satu pertiga penduduk negeri ini menghidap atau mempunyai gejala penyakit berkenaan yang juga dikenali sebagai diabetis.

Ini kerana WHO menganggarkan bagi setiap satu kes diabetis yang dikesan, akan ada satu lagi kes yang tidak dapat dikesan.

Setiausaha Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Ab. Aziz al-Safi Ismail berkata, lebih membimbangkan ialah jumlah itu menunjukkan berlakunya peningkatan lebih 100 peratus.

``Ini kerana pada 1996, kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan hanya 5.3 peratus penduduk dewasa di Kelantan menghidap diabetis tetapi kajian 2004 menunjukkan sebanyak 13 peratus.

``Sebab itulah juga 95.3 peratus daripada jumlah mereka yang kehilangan anggota badan di negeri ini adalah akibat gejala kencing manis,' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, kajian itu juga mendedahkan 70 peratus daripada penghidap diabetis di Kelantan adalah tergolong dalam pesakit yang mempunyai jumlah gula tidak terkawal.

Katanya, pesakit diabetis di negeri ini juga mempunyai purata kandungan gula dalam badan yang tertinggi di Malaysia iaitu 10.7 peratus berdasarkan perkiraan HBA1C sedangkan purata bagi seluruh negara ialah 9.1 peratus sahaja.

``Semua angka ini amat membimbangkan kerana diabetis adalah antara penyebab utama kematian di negara ini.

``Jika ditanya antara faktor utama mengapa Kelantan mempunyai jumlah pesakit diabetis yang paling tinggi, jawapannya mudah kerana kegemaran mereka mengambil makanan yang manis sejak turun-temurun,' katanya.

Kajian USM itu dijalankan di seluruh negara dengan kerjasama beberapa buah universiti tempatan di samping Kementerian Kesihatan.

Menurut Dr. Ab. Aziz, Selangor dan Pulau Pinang mempunyai jumlah pesakit diabetis kedua dan ketiga tertinggi dengan masing-masing 11 dan 10.5 peratus.

``Negeri yang paling rendah penghidap diabetis ialah Sarawak diikuti Sabah serta Perlis kira-kira enam peratus,' katanya.

Menurut beliau, tinggi atau rendah peratusan penghidap penyakit itu banyak berkait dengan amalan pemakanan dan gaya hidup penduduk.

``Penduduk Kelantan dengan kegemaran makanan manis manakala di Selangor dan Pulau Pinang lebih terdedah kepada gaya hidup moden yang banyak mengambil makanan segera dan kurang bersenam,' jelasnya.

Dalam konteks Kelantan, beliau yang juga pakar perubatan di Pusat Diabetis Hospital USM (HUSM) kesal dengan amalan penduduk negeri ini mengambil gula berlebihan.

``Semua tahu bahawa makanan yang manis boleh mengundang pelbagai penyakit terutama diabetis tetapi malangnya amalan tradisi itu tetap diteruskan.

``Salah satu contoh mudah, hanya orang Kelantan yang makan roti canai dengan kuah kari bersama gula. Itu belum disentuh tentang air dan kuih-muih yang semuanya manis.

``Kita perlu ubah amalan ini kerana manis yang berlebihan sangat berisiko kepada kesihatan kita,' katanya

No comments:

Post a Comment