Saturday 25 January 2014

Berhentilah dari merokok!



Merokok; tindakan tidak selamat seorang engineer!

MEROKOK adalah penyebab utama penyakit dan kematian pada usia muda. Tidak dapat dinafikan kaitan antara perokok dan kematian akibat darinya boleh menyebabkan keluarga mereka menyesal seumur hidup. 

Hampir separuh dari perokok meninggal dunia akibat penyakit berkaitan rokok seperti serangan sakit jantung, darah tinggi dan angin ahmar. Jika anda perokok tegar, pada puratanya, jangkahayat anda adalah kurang 10 tahun daripada orang yang tidak merokoahma

Kebanyakan kematian yang diakibatkan oleh merokok bukan kematian mengejut dan tiba-tiba. Sebaliknya penyakit seperti kegagalan sistem paru-paru (pernafasan) menyebabkan anda hidup bertahun-tahun dengan kelelahan dan masalah pernafasan sebelum anda menghembuskan nafas terakhir. 

Sesungguhnya kehidupan sebegini amat menyeksakan, terpaksa mengejar udara di saat manusia lain boleh bernafas seperti biasa. Bahana dari kegagalan sistem pernafasan ini.

Hasil dari kefahaman ini jugalah para alim ulama terkini seluruh dunia telah meletakkan hukum merokok sebagai haram kerana ia boleh membawa seseorang itu bahkan orang di sekelilingnya kepada kebinasaan. Apatah lagi apabila anugerah Tuhan yang diberikan percuma berupa keupayaan untuk bernafas dengan baik kita sia-siakan dengan merokok sehingga akhirnya kita tercungap-cungap dan bertegang urat untuk bernafas apabila fungsi paru-paru yang kita miliki telah rosak akibat rokok.

Anda masih belum terlambat untuk berubah. Bernafaslah dengan udara segar dan selamatkan badan anda dari kebinasaan yang berpanjangan. Berhentilah sekarang! Hak membuat keputusan adalah ditangan anda. Berhenti merokok boleh membawa kesan yang sangat besar kepada kesihatan dan kehidupan anda. 

Pastinya anda belum terlambat untuk menikmati kesan baik ini. Contohnya, jika anda berhenti merokok pada usia pertengahan sebelum mendapat penyakit serius seperti barah, anda boleh mengelak daripada mendapat kebanyakan kesan bahaya merokok.

Ramai orang telah berjaya berhenti merokok dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika anda merasakan ia sesuatu yang sukar dan memerlukan bantuan, rujuklah doktor anda dan rujukan boleh dibuat ke klinik berhenti merokok yang terdapat di premis kesihatan seluruh negara

Mungkin nota ini membolehkan anda beringat-ingat dan meneruskan langkah untuk berhenti. Tahukah anda bahawa rokok berbahaya kerana mempunyai beberapa bahan cemar. Salah satunya nikotin. Nikotin adalah bahan kimia yang merangsang otak. Jika anda adalah seorang perokok, apabila kadar nikotin dalam darah berkurang, anda mula mengalami tanda-tanda ‘withdrawal’ sama seperti penghisap dadah, contohnya gian, keresahan, sakit kepala, mudah marah, lapar dan masalah konsentrasi. Anda akan berasa pulih semula apabila kembali menghisap rokok. Oleh kerana itulah perokok tegar perlu sentiasa menghisap rokok untuk kembali berasa ‘normal’.

ROKOK KANDUNGI 4000 BAHAN KIMIA

Tar dalam rokok mengandungi lebih 4000 bahan kimia dan lebih 50 penyebab barah. Tar daripada rokok akan masuk terus ke dalam paru-paru dan seterusnya mengalir ke dalam salur darah anda ke bahagian lain tubuh anda. Dengan hanya sebatang rokok, anda menyeksa badan anda dengan menyebarkan racun merbahaya ke seluruh organ dalaman.

Karbon monoksida merosakkan kebolehan darah untuk membawa oksigen. Ini penting terutamanya kepada ibu mengandung kerana karbon monoksida akan mengurangkan kadar oksigen kepada bayi yang sedang mengembang dalam rahim ibu. Ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan jangka masa panjang dan kecacatan kepada bayi. Dan anda perlu ingat, karbon monoksida itu datang dari rokok yang anda sebagai bapa menghisap!

Melihat kepada kemudaratan-kemudaratan yang boleh dibawa oleh rokok, apa lagi alasan yang anda mahu berikan untuk tidak berhenti merokok?

No comments:

Post a Comment