Monday, 30 June 2025

Barat perlukan Timur & begitu juga sebaliknya; Buya Hamka

 

  1. Semasa tiba di Sekolah Tinggi Mormon di Salt Lake City, Buya Hamka berucap kepada hadirin yang berjumlah hampir 300 orang.
  2. Beliau berkata, kalau kita ada titik saksama, tidaklah ada tempat pemisah Timur dan Barat. Tetapi pemisah Timur dan Barat telah lama umurnya, yakni sejak timbul perebutan pengaruh dan kekuasaan di antara kerajaan Parsi di Timur dengan kerajaan Yunani dan Macedonia. Kadang - kadang maharaja Timur ke Barat dan kadang - kadang Barat ke Timur. 
  3. Bahagian Timur dan Barat ditakdirkan Tuhan bukanlah buat bermusuh, tetapi yang satu akan lenyap kalau tidak dilengkapkan oleh yang lain.
  4. Di dunia Barat, Tuhan telah takdirkan timbulny ahli falsafah seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Tetapi jiwa Barat akan menjadi miskin kalau kemudiannya ajaran Jesus Kristian tentang cinta yang dibawa Kristian tidak lekas datang dari Timur ke Barat.
  5. Sebaliknya seketika agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan berdirinya peradaban Islam di Baghdad, Sepanyol dan di bahagian - bahagian dunia yang lain. Alat cara fikir tinggalan Yunani telah dipakai pula oleh sarjana - sarjana Islam.
  6. Beberapa abad akhir, timbul kebencian Timur dan Barat kerana Barat datang ke Timur adalah kerana nafsu penjajahan. Kebencian ini merugikan kedua belah pihak. Orang Timur benci Barat kerana penjajahannya sehingga tidak dapat menuntut ilmunya. Orang Barat sombong dengan kemajuan fikiran dan tekniknya sehingga jiwanya kosong.
  7. Orang Timur telah membuka matanya kembali tetapi dia masih miskin tentang teknologi buat mengatasi kesulitan hidup dan orang Barat telah terlalu maju dengan teknologi kebendaannya sehingga hujung tamadunnya tidak lebih dari perang.
  8. Bom atom adalah hasil yang membawa kemanusiaan ke dalam jurang kehancuran dan penjajahan adalah batu (halangan) kepada menuju persaudaraan. Padahal Barat perlukan Timur dan sebaliknya.
  9. Akal meti maju, itulah bantuan Barat kepada dunia.
  10. Budi dan keimanan mesti kuat dan itulah bantuan Timur kepada Barat.
  11. Agama sebenarnya tidaklah bertentangan, yang bertentangan adalah hawa nafsu kepada pemeluk agama itu sendiri.
  12. Jika orang berani menegakkan yang jahat di dunia ini, kita percaya harus berani pula menegakkan yang baik.
  13. Dan saya terangkan pula bagaimana salahnya pandangan kami di Timur terutamanya di Indonesia kepada bangsa Amerika selama ini kerana hanya melihat kehidupan bintang filem dan cerita filem gangster. Setelah dilihat sendiri, ternyata orang yang taat beragama pun bukanlah sedikit di Amerika.
Catitan Buya Hamka (1952) dalam bukunya 4 Bulan di Amerika, Jilid Satu

No comments:

Post a Comment