Tuesday 16 February 2010

Berilmu dan tiba masanya untuk beramal..


  1. Sejak mula mengingati dan mempunyai memori, apa sahaja yang boleh dirasai oleh 6 panca indera serta hati menjadi sumber maklumat serta ilmu kepada insan bernama manusia.
  2. Aku masih ingat semasa kejadian diserang obor - obor takkala sedang mandi di Sungai Tok Lukup 23 tahun yang lalu (berumur 8 tahun). Kesan parut sebesar biji kurma masih ada di belakang. Pengajaran utama adalah : dengar nasihat ibu dan jangan melawan cakapnya. Pergi mandi-manda bersama rakan semasa cuti sekolah.
  3. Semasa di bangku sekolah rendah, guru menjadi sumber rujukan penting aku. Ada di kalangan mereka menjadi idola serta sumber motivasi. Banyak input positif serta nasihat diberikan padaku yang kebanyakannya membentuk peribadi aku hari ini.
  4. Aku masih ingat menangis di dalam kelas selepas mendapat markah 78 % untuk ujian matematik dan tidak mendapat A. Aku dipujuk oleh pelatih guru matematik berbangsa cina, katanya, jangan risau dengan kegagalan tersebut, teruskan usaha dan tumpukan pada UPSR. Aku menangis kerana usaha gigih dilakukan semasa aktiviti mengingat sifir 1 - 12 dilakukan (jika ingat sifir 1-12, buku kecil akan ditandatangan oleh guru tersebut- bangga dapat tandatangan guru). Dia mengajar aku, gagal bukan bererti selamanya gagal. Gagal itu ada hikmahnya.
  5. Aku masih ingat, suatu pagi Ahad, lewat ke sekolah. Hari itu perhimpunan pagi. Aku sampai pukul 0800 pagi beberapa meter dari sekolah. Semasa diri dalam dilema sama ada ingin meneruskan perjalanan memasuki kawasan sekolah (perhimpunan dilakukan di hadapan sekolah - semua pelajar duduk bersila di atas padang bola tampar- malu dilihat oleh semua pelajar sekolah) atau ponteng. Semasa sedang berfikir, seorang ustaz memanggil aku dan menyuruh aku berjalan menuju ke perhimpunan. Malunya setebal 10 inci. Tapi hari ini aku amat berterima kasih kepada Allahyarham Ustaz, kerana dengan tindakan beliau, hari ini aku lebih suka berhadapan dengan masalah berbanding melarikan diri daripadanya.
  6. Aku masih ingat, duit yang aku perolehi daripada abang ipar hasil dari membantunya setiap kali cuti sekolah, aku belanjakan untuk membeli kaset ceramah dan buku agama Menteri Besar Kelantan 12 tahun dulu. Aku tidak sanggup untuk meminta daripada ibubapa kerana tahu mereka memerlukannya untuk perkara lebih penting. Intipati serta kesan daripada ilmu yang diperlohi hasil daripada kaset serta buku itu juga amat signifikan kepada rutin hidup aku sekarang.
  7. Aku masih ingat, tak kala ingin mengulangkaji pelajaran pada waktu malam, tidak mempunyai meja serta rak buku. Aku bertukang membuat meja serta rak buku daripada kayu terpakai yang dikutip dari Kg Tok Lukup serta sekeliling rumah. Hasilnya, hari ini aku ada skill serta teknik pertukangan tangan yang baik. Sistem yang digunakan untuk menyimpan peralatan yang dibeli juga aku gunakan di tempat kerja. Aku menjadi jurutera hari pun juga disebabkan oleh kerana pengalaman tersebut!
  8. Aku masih ingat, setiap kali selepas waktu asar, aku dan abang tidak dibenarkan untuk pergi bersukan. Aku dan abang perlu membantu ayah untuk mengisar sagu untuk dijadikan makanan itik. Kesannya, hari ini aku tidak pandai bersukan. Namun, masa berharga itu banyak menyedarkan aku tentang kesusahan keluarga serta menjadi sumber motivasi untuk aku berusaha keras setiap waktu. Menghargai serta bersyukur dengan setiap apa yang ada.
  9. Setiap saat hidupku yang mampu aku ingat, dirungkai kembali saat dan tika ini kerana ia menjadi panduan untuk aku membuat keputusan sekarang.
  10. Jika kita tidak mempunyai pendedahan (ilmu) yang baik, kita cenderung untuk membuat pilihan kepada benda yang tidak baik. Sebuah peti ais, jika tidak diisi benda yang berguna, akan dimasukkan perkara busuk yang akan merosakkan keseluruhan peti ais. Perkara kebaikan perlukan usaha. Perkara kejahatan tidak perlu kepada usaha kerana kita mempunyai nafsu serta syaitan di sekeliling.
  11. Dalam proses membesar (kanak - kanak kepada remaja serta dewasa) pendedahan, ilmu agama serta pengalaman positif banyak memberi kesan kepada pembentukan peribadi seorang dewasa.
  12. Selari dengan ilmu yang ada, kita perlu mengamalkannya. Seorang jurutera yang mempunyai ilmu kejuruteraan perlu mengamalkan ilmunya untuk kesejahteraan umat manusia bukan sekadar duit semata - mata. Begitu juga mereka yang mempunyai ilmu agama, perlu mengajar mereka yang buta agama. Supaya menjadi panduan berguna tak kala mengharungi kehidupan yang penuh ceroba di dunia ini.
  13. Sebagai kesimpulan, berapa ramai antara kita mempunyai banyak ilmu berguna, tetapi tidak mengamalkannya. Kelak di akhirat, orang - orang berilmulah yang pertama akan di tanya oleh Allah, apa mereka sudah lakukan dengan ilmu yang mereka ada. Ada ilmu, ada tanggungjawab. Mereka berilmu, dan merekalah yang perlu menunjukkan jalan yang lurus pada rakyat di bawah pimpinan mereka. Jika sebaliknya, mereka inilah yang pertama akan mendapat azab neraka Allah.
  14. Kita boleh membuat senarai semak dalam kepala otak kita, apa lagi yang tidak kita amalkan dengan apa yang kita tahu. Apakah usaha sudah dilakukan untuk menuju ke arah merealisasikan ilmu itu dalam kehidupan seharian?

akhir kata, kita semua sudah berilmu, namun berapa % ilmu itu sudah kita amalkan dalam kehidupan seharian?

Beruntunglah mereka yang setiap hari menambah ilmu di dada dan pada waktu yang sama mengamalkannya serta menyebarkan kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment