Abu
Suatu hari, saya menghubungi seorang bekas rakan sekerja. Niat saya hanya untuk bertanya khabar dan mengetahui sebab dia meninggalkan syarikat. Namun jawapan yang saya terima benar-benar membuat saya terdiam.
"Dulu bos pernah cakap suruh saya keluar dari comfort zone. Jadi saya ikutlah nasihat bos tu."
Saya senyum sendiri. Saya pun tak ingat bila saya pernah menasihatinya begitu, tapi ternyata dia mengingatinya — dan lebih penting, dia bertindak berdasarkan kata-kata itu.
Raimi
Pada suatu ketika yang lain, saya menghantar mesej kepada seorang lagi bekas rakan sekerja. Dia sudah beberapa bulan bekerja di tempat baru, dan saya sekadar bertanya khabar. Dalam nada bergurau, saya bertanya juga, “Bila nak kahwin?”
Jawapan yang saya terima membuat saya tergelak kecil dalam terkejut.
"Saya dah kahwin, bos!"
Saya cepat-cepat mengucapkan tahniah. "Eh, kenapa tak jemput saya?"
Dia jawab dengan tenang, "Saya nikah dulu. Insya-Allah kenduri bulan September. Lagipun, dulu bos ada nasihatkan saya sesuatu, dan saya pegang nasihat tu."
Saya terdiam lagi. Kali ini, hati saya terasa hangat.
---
Kadang-kadang kita tidak sedar, kata-kata yang kita ucapkan — walau ringkas dan biasa-biasa saja bagi kita — boleh menjadi sesuatu yang luar biasa bagi orang lain.
Setelah lebih 20 tahun dalam industri ini, saya semakin kerap mendengar kembali kata-kata saya dari mereka yang pernah bekerja bersama saya. Ada yang jadikan ia sebagai pemangkin semangat, ada pula sebagai panduan hidup.
Saya tidak pernah menyangka nasihat yang lahir secara ikhlas dan sepintas lalu itu meninggalkan kesan begitu mendalam.
Sejak itu, saya belajar satu perkara penting — kata-kata itu bukan sekadar bunyi. Ia boleh menjadi doa, motivasi, atau bahkan titik mula perubahan besar dalam hidup seseorang.
Kepada semua yang pernah mendengar, menyimpan dan bertindak atas kata-kata saya, terima kasih kerana mempercayainya. Saya doakan semuanya terus berjaya dan bahagia.
Dan jika ada kata-kata saya yang pernah melukai, saya mohon maaf dari hati.
Kerana saya juga masih belajar — untuk berkata dengan lebih baik, dan memberi dengan lebih ikhlas.
No comments:
Post a Comment