Wednesday, 16 July 2025

Untukmu orang muda


Sebuah cerita kecil dari hati yang telah banyak belajar.

1. Umurku kini 46 tahun.
Aku sudah melepasi pertengahan usia. Beberapa kali juga aku lalui saat-saat yang orang namakan krisis pertengahan hidup. Ia tidak mudah. Namun ia banyak mengajar.

2. Orang muda, aku pernah menjadi kamu.
Darahku dulu juga hangat, cepat naik. Segala yang aku lakukan mahu segera selesai. Mahu cepat berjaya. Mahu cepat rasa hebat. Tapi rupanya, hidup ini bukan tentang siapa yang paling laju.

3. Aku baru benar-benar faham erti ‘darah muda’ ini, setelah uban datang dan tubuh mula perlahan. Setelah kehidupan memberi aku pengalaman dalam pelbagai rupa — suka, duka, salah dan betul.

4. Maka hari ini, aku menulis buat kamu.
Agar kamu jadi lebih baik daripada aku. Lebih sabar, lebih lembut, lebih jernih fikirannya. Semoga hidupmu jauh lebih bahagia dan mulia.

---

5. Dulu, aku mahu semuanya cepat.
Kerja harus selesai hari ini juga. Setiap hari kopi jadi teman setia — kafein mengalir dalam darah muda yang bergelora. Tapi kini, setelah diserang gastrik, dan tubuh tak setegar dulu, aku mula belajar erti perlahan. Kini aku lebih suka teh. Lebih suka duduk diam dan fikir panjang sebelum bertindak.

---

6. Dulu, kerja berat aku kejar.
Gunung pun aku rasa boleh aku pindahkan kalau perlu. Tapi sekarang, aku lebih suka seni. Aku suka menjahit. Aku suka bertukang halus, membuat tempat letak pensel yang berwarna dan bercorak. Jika dulu buat meja sehari siap, sekarang aku ambil sebulan. Tapi hasilnya… lebih halus, lebih cantik, lebih aku hargai.

---

7. Dulu, aku memandu 100 kilometer ke ladang sawit, tak pernah rasa penat.
Sekali tekan minyak, terus sampai. Kini, baru beberapa minit memandu, aku sudah mengantuk. Kadang-kadang berhenti dua tiga kali di tepi jalan, hanya untuk lena 10 minit. Tubuh ini sudah berubah. Tapi hati? Semakin tenang.

---

8. Dulu, aku mudah marah.
Silap sedikit, terus naik suara. Seolah hidup ini harus selalu menang. Tapi sekarang, aku banyak senyum. Aku belajar bahawa marah jarang sekali menyelesaikan apa-apa. Malah, ia menyakitkan diri sendiri.

---

9. Wahai orang muda, aku tahu semangatmu membara.
Tenaga mu kuat. Tapi ketahuilah, semua itu tidak kekal. Kau juga akan tua, seperti aku hari ini. Maka dari sekarang, belajarlah menjadi tenang walau muda. Belajarlah menjadi lembut walau kuat. Belajarlah menjadi dalam walau hidup pantas.

---

10. Jadilah orang muda yang matang dan budiman.
Jangan kedekut dengan nasihat. Bantulah orang muda lain jadi lebih baik. Ajar mereka dari pengalamanmu. Jika mereka berjaya tidak ulang salah silapmu — itu juga menjadi pahala dan hadiahmu di akhirat.

---

Akhir kata...

Dulu aku orang muda.
Kini aku hanya seorang yang ingin memberi sedikit cahaya untukmu yang sedang berlari.

Semoga kau sampai lebih jauh dari aku.
Dengan hati yang lebih damai, dan hidup yang lebih bererti.

No comments:

Post a Comment