Memulakan Sebuah Keluarga Kecil di Pendalaman Sabah
Selepas selesai majlis perkahwinan di Tuaran dan Pengkalan Chepa, kami berdua melangkah masuk ke fasa hidup yang benar-benar baharu. Untuk pertama kalinya, isteri mengikut saya masuk ke ladang sawit — tempat saya bekerja. Jauh dari bandar, sekitar 90 kilometer dari Lahad Datu, di hilir Sungai Kinabatangan.
Cuti dua minggu yang diperuntukkan untuk menguruskan dua majlis di lokasi berbeza akhirnya tamat. Tiada ruang untuk berehat lama. Hidup perlu diteruskan.
Sebenarnya, sejak dalam tempoh bertunang lagi, semua perjalanan hidup ini telah saya ceritakan dan rancang sejujurnya. Keadaan perumahan eksekutif, suasana ladang, keterasingan, semuanya telah dimaklumkan kepada bakal isteri.
Dan di situlah saya belajar satu perkara besar dalam hidup — sokongan tanpa syarat.
Saya bersyukur kerana sejak awal, isteri memberikan sokongan yang luar biasa kepada keluarga kecil yang bakal kami bina. Dia sanggup ikut saya masuk ke ladang sawit. Tidak bekerja, walaupun seorang graduan ijazah kejuruteraan aeroangkasa dengan keputusan akademik yang cemerlang.
Kami memulakan hidup berdua dengan serba kekurangan, namun penuh rasa bahagia. Tinggal di perumahan eksekutif yang hanya mempunyai lima buah rumah — termasuk rumah pengurus kilang. Pada waktu itu, hanya kami satu-satunya pasangan suami isteri yang tinggal bersama. Eksekutif lain kebanyakannya meninggalkan keluarga di bandar atau di kampung.
Untuk mengisi kekosongan dan kesunyian, kami banyak bersosial dengan keluarga staf dan pekerja kilang. Di situlah kami belajar erti komuniti dan kebersamaan.
Kami bermula dengan gaji yang kecil. Isteri membuat pilihan yang sederhana tetapi penuh makna — mempunyai akses telefon dan internet, berbanding televisyen atau Astro. Alasannya satu: dia mahu sentiasa dapat menghubungi ibu dan adik-beradiknya di kampung.
Sebagai seorang kadet jurutera di kilang sawit, kemudahan rumah, air, elektrik dan tong gas untuk memasak yang disediakan percuma menjadi nikmat besar buat kami membina kehidupan dari sifar.
Pada masa itu, saya sebenarnya tidak memiliki apa-apa. Motorsikal pun tiada. Saya masih ingat, saya meminjam motorsikal Kriss milik seorang kawan yang telah berpindah ke Semenanjung Malaysia. Beberapa tahun saya gunakannya sebelum akhirnya saya pulangkan semula.
Tiada istilah bulan madu buat kami sebaik sahaja berkahwin. Kekangan kewangan dan cuti tidak mengizinkan. Sebulan sekali sahaja kami keluar ke Bandar Lahad Datu untuk membeli keperluan asas. Itu pun menaiki van — satu-satunya pengangkutan dari ladang ke bandar.
Sebulan sekali juga, terutamanya selepas hari gaji, biasanya akan ada pasar kecil dibuka di ladang berhampiran atau di Kampung Sukau. Kami akan menyeberangi Sungai Kinabatangan semata-mata untuk merasai pengalaman membeli-belah di sana.
Setiap hari pula, akan ada penjaja datang ke rumah menggunakan 4WD Hilux. Menjual ikan dan sayur. Ikan tongkol, ikan selayang (ikan basung), dan ikan baulu — sejenis ikan bulan atau ikan terubuk import dari Indonesia. Tiga jenis ikan inilah yang menjadi lauk utama kami sepanjang tinggal di ladang.
Isteri saya sebenarnya sangat sunyi di ladang. Pembantu rumah sering menjadi teman rapatnya. Selain itu, beberapa staf wanita atau isteri staf di perumahan menjadi tempat beliau berbual dan berkongsi cerita.
Apa sahaja program ladang — hari keluarga, sukaneka, atau program di kilang — saya akan pastikan isteri turut serta. Sekurang-kurangnya, kesunyian beliau dapat terubat walau sedikit, tidak sendirian di rumah yang terpencil.
Setahun kemudian, Allah menghadiahkan kami anak pertama. Sepanjang tempoh kehamilan, saya sentiasa menemani isteri ke klinik ladang. Mungkin kerana jawatan saya sebagai eksekutif, layanan yang diberikan oleh staf klinik amat baik.
Isteri bersalin di Kota Kinabalu. Selepas sebulan, kami menghantar anak pulang ke kampung. Alhamdulillah, semuanya selamat walaupun kelahiran pertama melalui pembedahan caesarean.
Sejak awal, isteri menjadi pendokong terbesar keluarga kami. Kerana itulah, saya sangat fokus dalam kerja sebagai seorang jurutera. Fokus mencari rezeki untuk kami semua.
Setiap kali saya dipindahkan ke tempat baharu, dia akan ikut tanpa sebarang rungutan. Tidak pernah sekali pun saya dengar keluhan keluar dari bibirnya.
Hari ini, anak-anak kami sudah lima orang. Kakak sulung sudah menjejakkan kaki ke universiti. Adik-adiknya pula masih di sekolah menengah dan sekolah rendah. Alhamdulillah, semuanya membesar dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kakak mendapat keputusan SPM terbaik di sekolah walaupun hanya bersekolah di sekolah harian.
Hari ini, 15 Disember, adalah hari kelahiran isteri saya.
Saya jarang bercerita tentang dirinya. Tetapi biarlah tulisan ini menjadi tanda kasih dan sayang saya kepadanya — untuk selamanya.
Mudah-mudahan kisah ini menjadi inspirasi buat pasangan muda di luar sana. Bahawa membina sebuah keluarga kecil memerlukan 1001 pengorbanan.
Dan setiap kejayaan, sentiasa bermula dengan satu langkah pertama.
#KeluargaKecil #blog #blogger #kembarainsan #sabah #lahaddatu #jeroco
#Pengorbanan #mill #ladang #sawit
#IsteriTiangSeri
#KisahKehidupan
#DariLadangKeImpian
#Kesetiaan
#PerjuanganHidup
#InspirasiKeluarga
#Syukur
#LangkahPertama
Sanah helwah untuk isteri Abe Zul
ReplyDeleteTerima kasih Tuan. Semoga semua diberkati Allah.
DeleteCerita best menginspirasi…
ReplyDeleteAlhamdulillah... Abe Zul Kita ni memang hebat Dan cekal orangnya.
ReplyDelete