Wednesday, 10 December 2025

Bekal

Sekian lama saya melihat isteri bangun awal setiap pagi, menyediakan bekalan sarapan untuk anak-anak. Sama ada sesi pagi atau petang, lima anak kami membesar dengan rutin itu. Kakak sulung kini sudah pun menjejak universiti, manakala si bongsu baru melangkah ke darjah satu.

Saya sendiri jarang membawa bekal ke tempat kerja. Tidak pernah pula saya meminta. Namun sejak sebulan yang lepas, entah bagaimana, saya mula bangun pagi dan menyediakan sarapan serta bekal untuk diri sendiri.
Pertama kali dalam hidup.
Satu rutin baru yang terasa asing, tetapi perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada diri.

Ia bermula apabila saya terinspirasi daripada seorang staf yang menjual makanan kukus untuk beberapa rakan sekerja. Dalam seminggu saya membeli, selebihnya saya buat sendiri. Lagipun, makanan di kantin sering cepat habis, dan kadang-kadang menunya tidak kena dengan selera. Makan di luar juga bukanlah pilihan paling mudah.

Akhirnya saya sedar—paling praktikal ialah sediakan bekal sendiri. Dan semakin dibuat, semakin terasa manfaatnya.
Tambahan pula, muncul satu trend baru di tempat saya bekerja: jualan makanan kukus. Viral pula. Ubi, jagung, kacang, labu, telur, sayuran—semuanya dikukus tanpa sebarang tambahan. Sihat, murah, mudah.

Rutin baru ini terasa seperti hadiah untuk tubuh sendiri, terutama untuk diri yang bakal melangkah ke usia 50-an. Saya mula melihat rakan-rakan asing yang sejak dulu membawa bekal dari rumah. Bukan kerana mereka tidak sudi makan makanan tempatan, tetapi kerana lidah dan tubuh mereka sudah terbiasa dengan rasa kampung halaman. Bila dimasak sendiri, semuanya lebih serasi. Lebih “kena” dengan biologi tubuh masing-masing.

Dan ketika itu, ingatan saya kembali pada hari pertama menjejakkan kaki ke ladang sawit.
Seorang pengurus senior bertanya soalan yang tidak pernah saya jangka:

“Kamu pandai masak apa?”

Saya tergamam. Tidak tahu hendak menjawab apa.
Namun beberapa bulan—kemudian bertahun—barulah saya benar-benar memahami maksud soalan itu. Rupanya, hidup jauh dari keluarga menjadikan rindu masakan ibu makin menebal. Saya mula menghubungi ibu di kampung, meminta resipi singgang, gulai lemak, kari. Minta diajar langkah demi langkah. Dari situ, hobi memasak lahir secara tidak sengaja. Dan mungkin… itulah sebab sebenar kenapa saya masih suka memasak sampai hari ini.

Kadang-kadang, rutin kecil seperti membawa bekal membuka ruang untuk kita mengenal diri sendiri.
Mengajak kita kembali kepada akar.
Mengingatkan betapa hangatnya rasa “rumah” walau kita berada jauh di perantauan.

#AnekdotIndonesia

No comments:

Post a Comment