Monday, 8 December 2025

Kisah Makcik Dinah dari Pulau Sumba

Kisah Makcik Dinah dari Pulau Sumba

Minggu ini masuk kali kedua aku membeli ubi untuk bekal kerja di pasar Makcik Dinah, di Pasar Bundaran. Wanita berusia 60-an ini mengingatkan aku kepada ibuku yang dulu juga berniaga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Wajahnya dan tutur katanya membuatkan hati aku sayu, merindui ibu di kampung.

Aku mulakan bicara.

“Kenapa tangan kirinya, ibu?” tanyaku, sambil menunjuk kepada remaja lelaki berusia 14 tahun — cucunya yang menjadi pembantu beliau, tidak lekang dengan telefon bimbit di tangan.

“Semasa kecil, waktu umur empat tahun, dia jatuh. Hantar mengurut… kemudian semakin parah. Tangan lengan kirinya dipotong,” jawabnya perlahan.

Aku agak terkejut dengan jawapan itu.

Aku meneruskan perbualan, “Dia bersekolah, ibu?”

“Ya,” balasnya ringkas.

Makcik itu menyambung, “Ibu orang dagang, nak. Dari kampung, pekan, Sumba.”

Aku menggeleng kepala tanda tidak tahu, kerana tidak pernah dengar nama kampung yang disebutnya. Yang aku tahu cuma Pulau Sumba. Nanti, aku fikir, aku akan cari di mana tempat itu sebenarnya.

Aku membalas, “Ibu, saya juga orang dagang… dari Malaysia,” sambil tersenyum.

“Ibu, kalau terjatuh, terus hantar ke hospital, bukan hantar ke tempat urut,” tambahku memberi nasihat tanpa diminta, walaupun aku tahu perkara itu tidak akan mengubah apa-apa.

Sebenarnya, sejak bekerja di ladang sawit, sudah beberapa kali aku terlibat menguruskan hal-hal sakit yang tidak menerima rawatan moden, sebaliknya dirawat secara tradisional hingga hilang nyawa. Perkara itu amat sensitif bagi aku.

Dan hari itu, di hadapan Makcik Dinah dari Pulau Sumba, aku tiba-tiba rindukan ibu di kampung…

#indonesia #malaysia

No comments:

Post a Comment