KUALA LUMPUR: Kedudukan 12 syarikat yang gagal memajukan projek Pertanian Moden Kluang di Ayer Itam, Johor akan ditentukan Kabinet selepas kajian mengenainya siap, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. 

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) diberi tanggungjawab untuk melakukan kajian daripada pelbagai aspek untuk dibentangkan ke kabinet bagi tindakan lanjut. Katanya sejak projek itu dilancarkan pada 2004, perkembangan projek dan penggunaan tanah tidak seperti yang dijangka dan ia merugikan kementerian serta pihak lain yang berminat memajukannya. 


"Kementerian sedang buat kajian untuk dibawa ke Kabinet bagi pengagihan semula tanah ini kepada mereka yang benar-benar boleh memajukannya. 

"Kita perlu bawa isu ini ke Kabinet kerana ia adalah dasar dan kita perlu kemukakan bagi membolehkan kerajaan membatalkan syarikat-syarikat itu mengikut peraturan dan prosedur," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan input projek permulaan (EPP) 13 kluster tenusu kepada 212 pengusaha ternakan tenusu di sini, hari ini. 

Beliau berkata langkah itu perlu dilakukan agar pelan jangka panjang kerajaan dalam menjamin keperluan bekalan makanan negara tidak terjejas. 

Mengikut perancangan asal, projek seluas 3,600 hektar itu, yang dimulakan pada 2004, adalah sebuah ladang pertanian yang menggunakan teknologi moden apabila sampai ke peringkat matang akan menghasilkan pelbagai pengeluaran pertanian bernilai RM200 juta. 
Antara produk pengeluaran pertanian dalam projek itu ialah sayur-sayuran, buah-buahan, herba, rempah, ternakan lembu, kambing serta perikanan. 

Beliau berkata ada antara syarikat yang dipilih menyertai projek itu langsung tidak melaksanakan projek seperti dijanjikan ketika memohon tanah selain ada yang baru menjalankan projek itu pada skala kecil. 

"Sebelum ini sewaktu diagihkan, syarikat yang diberikan tanah berjanji melaksanakan pelbagai projek seperti menternal lembu, kambing sehingga 2,000 ekor, tapi bila dapat hanya bela kambing setakat 300 ekor sahaja, ini yang tidak patut," katanya. 

Tanpa menafikan ada projek yang berjaya, Noh berkata kebanyakan syarikat masih berada di takuk lama, tidak berdaya saing serta tidak mencapai matlamat yang disasarkan kementerian. 

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sijil kepada 212 pengusaha ternakan tenusu serta sumbangan mesin pemerah susu, tangki susu serta lembu dara tenusu bunting. 

EPP tenusu merupakan sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara bertujuan mentransformasikan penternakan lembu tenusu untuk meningkatkan pengeluaran susu segar negara daripada 24 juta liter tahun lalu kepada 70 juta liter pada 2020. - BERNAMA