Friday 12 October 2012

Usaha Gigih Poh Kit Bawa Kejayaan

Ramai pengusaha menceburi bidang penternakan kambing di Malaysia. Bagaimanapun, industri penternakan kambing di negara ini hanya dapat menyumbang antara 12 peratus hingga 15 peratus keperluan negara bagi daging kambing dan bebiri dan selebihnya bergantung kepada daging yang diimport.
Sesungguhnya penternakan kambing di Malaysia masih jauh dalam usaha untuk tidak mengurangkan kebergantungan kepada import.
Penternakan kambing boleh mendatangkan dua hasil utama, iaitu daging dan susu. Hanya lima peratus kambing dan bebiri di Malaysia dipelihara bagi tujuan pengeluaran susu, sementara bakinya adalah untuk pengeluaran daging. Antara penternak kambing dan bebiri yang berjaya ialah Chew Poh Kit, 55, yang mengusahakan ternakannya di Jasin, Melaka sejak 1998.
Anak jati Melaka ini boleh berbangga dengan pencapaian beliau yang bermula dengan hanya dua ekor kambing dan kini mempunyai hampir 1000 ekor kambing dan bebiri.
Beliau memulakan perusahaan dengan modal sendiri dan mendapat bantuan kewangan dari Agrobank. Poh Kit telah mendapat pelbagai pinjaman dengan Agrobank yang kini nilai keseluruhannya mencecah RM1 juta.
Ternakannya terdiri daripada pelbagai jenis kacukan dari baka seperti Blackbelly Barbados, Jamnapari dan Boer. Selain itu, beliau turut menternak bebiri jenis Santa Ines yang bakanya berasal dari Argentina.
Pada masa ini, terdapat lebih 300 jenis baka kambing yang dikenal pasti di dunia. Poh Kit menerangkan bahawa beliau hanya menternak kambing jenis baka campuran yang nilainya tidak terlalu tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran. Bahkan, beliau berkata, kambing ternakannya memiliki keunikan tersendiri.
“Selepas seharian dilepaskan di ladang yang juga milik saya, semua kambing dan bebiri boleh pulang sendiri ke kandang masing-masing selepas saya membunyikan gong pada pukul 5.30 petang setiap hari.
“Walaupun ternakan saya berjumlah hampir 1,000 ekor, semuanya akan pulang dan berbaris di hadapan kandang masingmasing, menunggu pintu kandang dibuka,” katanya tersenyum.
Menurut Poh Kita, harga pasaran kambing dan bebiri banyak bergantung kepada permintaan yang berubah mengikut musim. Secara amnya, beliau memperoleh pendapatan mencecah lima angka dalam masa sebulan.
Poh Kit percaya bahawa setiap yang diusahakannya boleh berjaya dengan adanya disiplin diri. Ketekunan dan komitmen yang berterusan adalah antara faktor lain dalam memperoleh kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Pada masa hadapan, Poh Kit berhasrat untuk menambah ternakannya mencecah 2,000 ekor. Justeru, beliau kini giat menambah bilangan kandang untuk menempatkan lebih banyak kambing dan bebiri bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment