Saya selalu menganggap LinkedIn dan media sosial sebagai jurnal peribadi saya. Tempat saya berkongsi pengalaman hidup dan perjalanan kerjaya sebagai seorang jurutera. Lebih daripada sekadar platform, ia adalah ruang untuk saya melihat kembali perkembangan diri, mencatat apa yang saya pelajari, dan berkongsi nilai dengan sesiapa yang sudi membacanya.
Di Facebook, saya sangat berhati-hati dalam memilih siapa yang saya benarkan dalam friendlist. Ramai juga yang saya tolak atau remove. Prinsip saya mudah — bukan soal jumlah, tetapi menerima hanya mereka yang benar-benar mahu menerima saya seada-adanya. Jika tidak, lebih baik saya tolak dari awal.
Namun realitinya, apabila bekerja dalam organisasi, media sosial bukan lagi hal yang seratus peratus peribadi. Ada satu ketika, sebuah post saya menjadi isu. Saya juga pernah ditegur kerana terlalu aktif berkongsi pandangan politik. Walaupun niat saya menulis adalah atas kapasiti peribadi, tetapi kerana ada rakan sekerja di dalam friendlist, ia akhirnya dianggap isu organisasi.
Perkara yang sama berlaku di LinkedIn. Dahulu saya bangga menyenaraikan setiap tempat kerja, pengalaman dan pencapaian saya. Tetapi sejak beberapa bulan lalu, saya memadam semua rekod pengalaman tersebut. Bukan kerana saya malu, tetapi kerana saya sedar — apa yang saya kongsi boleh disalah tafsir menjadi isu organisasi, bukan peribadi.
Hari ini, saya berdiri atas nama saya sendiri. Bukan atas nama mana-mana jawatan atau organisasi. Saya menulis sebagai Kembara Insan, seorang blogger dan pemerhati kehidupan. Jika ada rakan-rakan yang rasa perkongsian saya bermanfaat, saya alu-alukan untuk follow. Tetapi jika sebaliknya, tidak mengapa — unfollow atau remove juga satu pilihan yang saya hormati.
Media sosial bagi saya adalah ruang untuk belajar, mencermin diri, dan memberi nilai. Dan saya akan terus menulis selagi ia membantu saya berkembang serta memberi sesuatu kepada sesiapa yang membaca.
#blog #blogger
No comments:
Post a Comment